LUQMAN (kanan) pamer aksi cemerlang ketika Piala Sanix.
Firdaus Hashim


PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kini menjadi buruan lima kelab bola sepak terkemuka di Liga Jepun selepas memperagakan aksi bertenaga bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara di Piala Sanix di Fukuoka, Jepun baru-baru ini.

Difahamkan, satu daripada lima kelab terbabit adalah daripada saingan divisyen satu (J1) manakala selebihnya pasukan J2 yang diketahui memiliki tahap kualiti tinggi berbanding liga lain di benua Asia.

Khabar gembira itu dimaklumkan Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada selepas berakhirnya kempen Piala Sanix di mana skuad kendalian Bojan Hodak sekadar menamatkan cabaran di tangga ke 12 daripada 16 pasukan bertanding.

Malah, Luqman juga berjaya mencipta sejarah apabila dipilih sebagai kesebelasan terbaik Piala Sanix pada edisi kali ini.

“Saya rasa ini adalah berita yang baik untuk Luqman. Saya mendapat berita ada lima pasukan liga Jepun yang bertanyakan mengenai dia.

“Mereka tertarik dan mahu melihat sendiri prestasi individu dari Luqman. Saya akan kumpulkan semua data dan video prestasi Luqman secara individu untuk diberikan kepada mereka.

“Apapun semuanya terpulang kepada Luqman sekiranya dia ingin bermain di sini,” kata Hamada yang sebelum ini turut memainkan peranan besar membawa penyerang skuad B-22 negara, Hadi Fayyadh Abd Razak beraksi bersama kelab J2, Fagiano Okayama.

Jelasnya, beliau sedia membantu Luqman bagi mendapatkan tempat beraksi dengan kelab di negara matahari terbit itu.

“Kami bukan ejen bola sepak, kami hanya membantu mana-mana pemain Malaysia yang berminat dan layak untuk mendapat tempat di sini,” katanya.

Sementara itu, Luqman mengakui bersedia menyahut cabaran untuk bermain di Jepun sekiranya mendapat mana-mana tawaran di sini.

Jelas pemain kelahiran Kelantan yang diasah bakatnya menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu, dia sememangnya bercita-cita untuk berkelana ke luar negara bagi meningkatkan prestasinya.

“Saya akan sentiasa fokus dengan karier saya dan sekiranya ada pasukan luar berminat mendapatkan khidmat saya, saya akan terima dan mencuba yang terbaik. Cita-cita saya sememangnya untuk bermain di luar negara untuk meningkatkan lagi prestasi dan perbaiki diri saya sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:01 AM