MFL saman TM lebih RM400 juta. FOTO NSTP
Syazwan Msar


DRAMA ‘perbalahan’ antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Telekom Malaysia (TM) tiba di kemuncaknya apabila badan pengurusan itu akhirnya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan perlanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi terbabit.

MFL menerusi kenyataannya memaklumkan tindakan undang-undang itu adalah demi melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Katanya, TM sebelum ini mengeluarkan kenyataan rasmi bukan lagi penaja Liga Malaysia bermula tahun ini selain menafikan mereka gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam kontrak sebaliknya menyatakan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama berkenaan asas komersial.

“Tempoh kontrak penajaan yang ditandatangani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.

“Terma dan syarat ini dipersetujui serta dimeterai bersama pada Januari 2018 dan satu kenyataan bersama MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP dan TM bertarikh 1 Februari 2018 bertajuk ‘unifi menyatukan rakyat Malaysia melalui bolasepak’ dikeluarkan sebagai tanda kolaborasi bagi menaja Liga Malaysia.

“Malangnya, TM mencadangkan terma baharu termasuk perubahan kepada terma asas yang sudah dipersetujui dan ditandatangani bersama,” kata kenyataan itu, hari ini.

Pada 15 Mac yang lalu, MFL secara rasmi mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Namun, baru-baru ini, Telekom Malaysia (TM) tampil mendedahkan bahawa kerjasama antara syarikat telekomunikasi itu dengan MFL sebenarnya sudah dibatalkan 1 November 2018 lalu.

Malah, TM turut mendakwa kegagalan kerjasama itu berpunca daripada perlanggaran kontrak membabitkan aspek komersial yang gagal dipatuhi oleh pihak MFL sendiri.

Sementara itu, menurutnya, terma baharu ingin dimasukkan TM adalah bercanggah dengan apa yang dipersetujui sebelum ini.

Antara terma yang mahu dimasukkan TM adalah perubahan yang jelas bercanggah dengan persetujuan bersama sebelum ini dan akan menjadikan perjanjian antara MFL dan TM tidak stabil dan tidak adil.

“Oleh itu, ia tidak mungkin boleh dipersetujui oleh kami kerana dilihat sebagai cara TM untuk membebaskan diri daripada obligasinya di bawah syarat yang sudah dipersetujui dan ditandatangani.

“TM kemudiannya enggan menjalankan sebarang perundingan untuk mencari penyelesaian dan juga tidak mahu meluangkan masa mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu ini apabila dijemput pihak MFL walaupun ada representasi sebaliknya daripada pengurusan TM ketika itu.

Berikutan itu, MFL menuntut lebih RM400 juta kepada TM berdasarkan kontrak penajaan bersama dan surat saman sudah diserahkan kepada peguamcara syarikat telekomunikasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 8:45 PM