Reuters

Bintang All Blacks Sonny Bill Williams menyertai ratusan umat Islam dan ribuan penduduk New Zealand menunaikan solat Jumaat di Hagley Park, Christchurch ketika negara itu berkabung bagi mengenang mangsa insiden tembakan minggu lalu.

Williams yang memeluk Islam pada 2009, diberikan cuti seminggu oleh pasukan Super Rugby untuk membantu komuniti Muslim menangani insiden tembakan Jumaat lalu, yang mengorbankan 50 nyawa di dua masjid di Christchurch.

“Saya fikir kita perlu berlemah-lembut pada awalnya kerana perasaan di sana bercampur baur,” kata Williams kepada TVNZ sebelum siaran langsung azan dan solat di Hagley Park, berhampiran Masjid Al Noor di mana majoriti mangsa meninggal dunia.

“Anda hanya perlu lakukan apa yang terbaik untuk mangsa tetapi saya berpandangan sesuatu yang indah akan berlaku.”

Juara dua kali Piala Dunia dan juga Muslim pertama bermain untuk All Blacks nyata tersentuh dengan tembakan itu dan memuat naik video yang menyatakan mesej sokongan di akaun media sosialnya, tidak lama selepas insiden itu berlaku.

Pasukan Super Rugby, Auckland Blues, yang akan menentang Otago Highlanders di Eden Park petang ini, berkata awal minggu ini mereka menyokong ketiadaannya untuk pergi ke Christchurch.

“Saya fikir ia sesuatu yang menyenangkan,” kata penolong jurulatih Tom Coventry.

“Dia mempunyai keimanan yang kuat. Dia merasai penderitaan penduduk di Christchurch.

“Kami kagumi pendiriannya dan keinginannya untuk pergi ke sana dan berkongsi kesedihan dan menjadi sebahagian daripada pemberi sokongan buat rakyat di New Zealand. Kami mendoakan yang baik untuknya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 11:27 AM