MBAPPE (kiri) diasak pemain Moldova, Alexandru Antoniuc di Stadium Zimbru. - FOTO Reuters
AFP

PEMAIN sayap Antoine Griezmann menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan ketika juara Piala Dunia, Perancis mudah menewaskan Moldova 4-1 dalam aksi pembukaan kelayakan Euro 2020 Kumpulan H di Stadium Zimbru, Chisinau, awal pagi tadi.

Bintang Atletico Madrid itu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-24 sebelum menghantar bola kepada Raphael Varane yang menjaringkan gol kedua, tiga minit kemudian.

Olivier Giroud menyamai pencapaian David Trezeguet sebagai penjaring ketiga terbanyak Les Bleus sepanjang zaman dengan menembusi gawang lawan enam minit sebelum rehat untuk gol antarabangsa ke-34nya dan Kylian Mbappe melengkapkan pesta gol tiga minit sebelum tamat perlawanan.Vladimir Ambros menjaringkan gol sagu hati Moldova pada masa kecederaan.

Perancis dibarisi hampir keseluruhan pemain yang menjuarai Piala Dunia Russia kecuali pertahanan kiri, Layvin Kurzawa dan pemain sayap Bayern Munich, Kingsley Coman menarik diri akibat kecederaan otot ketika sesi latihan dan digantikan Blaise Matuidi.

Griezmann mempunyai peluang terbaik pada pada minit ke-17 namun percubaan jarak jauhnya gagal menggugat penjaga gol tuan rumah Alexei Koselev.

Tetapi tujuh minit kemudian dia menjaringkan gol ke-27 antarabangsanya apabila menerima hantaran lambung bintang Manchester United, Paul Pogba dalam kotak penalti dan merembat menewaskan Koselev. Griezmann kemudiannya membantu jaringan kedua Perancis apabila tendangan sudutnya ditanduk pertahanan tengah, Raphael Varane.

Giroud melebarkan kedudukan pada minit ke-36 dengan menguis bola masuk dari jarak dekat selepas mendapat hantaran Matuidi dari sebelah kiri.

Dia terlepas peluang mengatasi rekod Trezeguet iaitu 34 gol sebaik babak kedua bermula apabila tandukannya hanya sedikit tersasar.

Kylian Mbappe melengkapkan pesta gol pelawat dengan tolakan mudah pada minit ke-87 selepas mendapat hantaran Lemar yang sebelum itu bijak merampas bola daripada kawalan Eugeniu Cebotaru.

Tuan rumah akhirnya mendapat satu gol apabila pemain tengah Ambros mudah menolak bola msuk menewaskan penjaga gol pelawat Hugo Lloris.

Perancis akan menentang Iceland pada Isnin ini manakala Moldova yang belum pernah layak ke kejohanan antarabangsa akan berkunjung ke Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 7:34 AM