PERTAHANAN Venezuela, Yordan Osorio (kiri) mengasak Messi di Stadium Wanda Metropolitano. - FOTO AFP
Reuters

PENAMPILAN kali pertama Lionel Messi bersama Argentina sejak Piala Dunia 2018 berakhir dengan kekecewaan selepas tewas kepada Venezuela 3-1 di Madrid awal pagi tadi dan terpaksa melupakan perlawanan seterusnya akibat kecederaan pangkal paha.

Messi mempamerkan aksi menarik tetapi perlawanan tetap menjadi milik Venezuela yang menewaskan lawan lebih ternama menerusi jaringan Salomon Rondon, Jhon Murillo da Josef Martinez manakala Lautaro Martinez menjaringkan gol sagu hati Argentina.

Messi menamatkan perlawanan dengan kesakitan di pangkal paha dan terpaksa melupakan aksi persahabatan menentang Maghribi di Tangier, Selasa ini, menurut jurucakap Persatuan Bolasepak Argentina.

Bagaimanapun, kecederaan itu tidak begitu serius dengan pemain tengah Gonzalo Martinez turut tersisih akibat kecederaan paha.

Messi berehat daripada tugasan antarabangsa selepas Argentina tersingkir di peringkat 16 terakhir pada Piala Dunia di Russia tetapi dia kembali dengan wajah dan semangat baharu dalam perlawanan di Stadium Atletico Madrid itu.

Venezuela hanya sekali menewaskan Argentina dalam 23 perlawanan tetapi mereka memulakan perlawanan dengan meyakinkan apabila Rondon yang menerima hantaran jauh menjaringkan gol pembukaan pada minit kelima dengan merembat kencang melepasi kawalan penjaga gol Franco Armani.

Rondon hampir menggandakan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-40 sebelum Murillo menjadikan kedudukan 2-0 menerusi rembatan cantik ke penjuru gawang Argentina.

Lautaro Martinez menyudahkan serangan balas pantas Argentina pada minit ke-59 tetapi kegembiraan hanya seketika apabila Josef Martinez menyempurnakan sepakan penalti Venezuela untuk menjadikan kedudukan 3-1 dan kekal sehingga tamat perlawanan.

"Pada separuh masa pertama kami mencipta peluang tetapi mereka menghukum kami dengan dua gol apabila kami membuat kesialapan,” kata Lautaro Martinez. "Pada babak kedua, kami beraksi dengan lebih baik dan menggerakkan bola dengan lancar tetapi mereka berjaya mendapat penalti. Kami perlu memperbaiki prestasi selepas ini.”

Argentina berdepan Maghribi pada Selasa ini dan Venezuela menentang Catalonia di Girona pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 10:42 AM