NEYMAR tak puas hati keputusan pengadil. - FOTO Agensi
NEYMAR tak puas hati keputusan pengadil. - FOTO Agensi
AFP

UEFA mendakwa Neymar di atas kesalahan mencerca pegawai perlawanan selepas Paris Saint-Germain tewas mengejut kepada Manchester United sekali gus tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.

Bintang Brazil itu tidak beraksi ketika PSG tewas 3-1 akibat kecederaan pada awal bulan ini tetapi dia memaki pegawai perlawanan dalam media sosial selepas tamat perlawanan di Parc des Princes.

Pemain berusia 27 tahun itu gagal menahan kesabaran dan berang selepas penalti lewat permainan yang dijaringkan Marcus Rashford membolehkan United mara ke peringkat seterusnya.

UEFA berkata, dia akan didakwa dengan tarikh pendengaran kes belum ditentukan.

Neymar mungkin berdepan hukuman bermula seawal peringkat pertama Liga Juara-Juara musim depan.

Pada Jun lalu, rakan sepasukan Neymar, Gianluigi Buffon digantung tiga perlawanan selepas berkonfrontasi dengan pengadil Michael Oliver dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid musim lalu.

“Memalukan. Ada empat pegawai yang tidak memahami bola sepak dan sepatutnya mereka tonton ulang tayang perlawanan di TV,” kata Neymar dalam Instagram selepas tamat perlawanan.

United diberikan sepakan penalti selepas bola rembatan Diogo Dalot didakwa terkena tangan Presnel Kimpembe.

Neymar dilaporkan sangat marah dengan keputusan pengadil sehingga dia terpaksa ditahan pegawai PSG daripada memasuki bilik persalinan. .

PSG membeli Neymar dari Barcelona dengan harga rekod pemain termahal dunia pada 2017 dalam usaha memburu trofi pertama Liga Juara-Juara tetapi mereka tersingkir daripada saingan 16 terakhir buat kali ketiga berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 1:28 PM