STATUS yang dimuat naik MFL di laman rasmi FB.
Syazwan Msar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan memfailkan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) Khamis lalu, untuk mempertahankan kepentingan pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, beliau tidak memahami rasional TM selepas syarikat telekomunasi itu seolah-olah bertindak untuk menggagalkan komitmen asal tajaan Liga Malaysia bagi tahun 2019 walaupun kedua-dua pihak sudah menandatangani perjanjian penajan selama lapan tahun pada Januari tahun lalu.

“Orang awam tahu ada banyak perubahan di TM termasuk pada unifi tv. Disebabkan isu dalaman ini, mereka tidak lagi mempunyai platform untuk memaparkan kandungan MFL.

“Kerana pemberhentian unifi tv ini berlaku selepas tempoh setahun dan TM masih lagi ada 7 tahun dalam kontrak dengan MFL, mereka mencari pelbagai alasan untuk keluar dari kontrak. Apa yang mereka tidak dedahkan adalah perkongsian TM dan MFL sebelum ini membabitkan beberapa aspek berbeza.

“Tetapi ada sesetengah pihak yang cuba untuk menunjukkan seakan jumlah wang yang dilabur itu adalah sepenuhnya untuk siaran atau penyiaran sahaja. Hakikatnya, bahagian itu lebih kurang separuh saja dari jumlah pelaburan yang dikontrakkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Khamis lalu, MFL mengambil tindakan undang-undang terhadap TM dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu kerana gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk 2019.

Sebelum itu, MFL secara rasmi mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM yang ditandatangani untuk perjanjian selama lapan tahun pada Januari tahun lalu selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Namun, TM mengeluarkan kenyataan bahawa bukan lagi penaja Liga Malaysia bermula 2019 selain juga menafikan mereka gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam kontrak sebaliknya menyatakan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama berkenaan asas komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 7:30 AM