Kedah tagih khidmat Renan secepat mungkin. FOTO NSTP
Kedah tagih khidmat Renan secepat mungkin. FOTO NSTP
Izzali Ismail


HAJAT pemain import pertahanan Kedah Renan Alves untuk kembali beraksi bersama Lang Merah akibat penggantungan kad merah akan diketahui Rabu ini.

Ketiadaan pemain kelahiran Brazil itu memberi tekanan buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas Liga Super selepas mengalami kekalahan pertama 1-0 kepada Pahang pada 8 Mac lalu.

Menurut laman Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berita kemunculannya kembali bersama skuad Lang Merah terus menjadi persoalan dalam kalangan peminat bolasepak Kedah selepas kena kad merah.

"Kelibat Renan Alves pasti dinantikan oleh penyokong Kedah selepas menjalani penggantungan automatik satu perlawanan akibat dilayangkan kad merah.

"Kes kad merah Alves akan dibawa ke Lembaga Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan bersidang 27 Mac ini dan dijangka menerima penggantungan tambahan.

"Namun, pengurusan KFA percaya dengan kebijaksanaan badan induk itu untuk membuat keputusan sewajarnya terhadap kes itu berdasarkan merit sepanjang perlawanan, latar belakang, tingkah laku pemain dan bukan hanya pada insiden 15 saat yang berlaku."

KFA turut memaklumkan tugas benteng tengah sepanjang ketiadaan Alves diambil alih oleh pemain senior Khairul Helmi Johari yang beraksi baik ketika berdepan Pahang.

"Sepanjang cuti Liga, Alves turut disenaraikan dalam beberapa perlawanan dalam siri Jelajah Lembah Klang dan dilihat bersemangat tinggi untuk kembali beraksi dalam aksi Liga Malaysia seterusnya.

Kedah terpaksa melupakan khidmat Alves selepas pemain kelahiran Rio De Janeiro Brazil berusia 26 tahun itu dlayangkan kad merah pada penghujung babak perlawanan Kedah menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman pada 2 Mac lalu.

Kedah kini menduduki tangga ke-3 Liga Super mengumpul 11 mata dan perlu mencari formula berkesan pada benteng pertahanan apabila melayan kunjungan peneraju Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 12:39 PM