Skip this ad x
AKSI Muhammad Azrai (tengah) pada perlawanan hoki di Stadium Hoki, Bukit Jalil.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Malaysia tidak ketandusan pemain pelapis untuk menggalas cabaran negara, namun perlu memantapkan lagi program pembangunan hoki secara menyeluruh.

Menurut pengendali Projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, ramai bakat baharu pemain hoki dilahirkan menerusi program itu dan berbangga dua anak didiknya, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, 19, dan Muhammad Arif Syafie Ishak, 20, masing-masing beraksi di posisi pertahanan dan penyerang diserap dalam skuad hoki kebangsaan yang beraksi di Piala Sultan Azlan Shah.

Katanya, pembangunan menyeluruh hoki perlu seiring supaya Malaysia tidak jauh ketinggalan dengan negara kuasa hoki dunia.

“Sukan hoki sudah mencapai tahap pembangunan tinggi termasuk dari segi pemilihan pemain terbaik bukan saja dari segi teknik dan kemahiran malah juga fizikal.

“Untuk maju dalam hoki, kita kena prihatin dan tahap pembangunan hoki seiring. Misalnya seperti pasukan Belgium yang tahap pembangunannya begitu tinggi.

“Sebabnya, permainan hoki sudah berubah, mula guna badan, agresif dan laju, (sedangkan) kita masih lagi lihat siapa pemain yang bagus (dari segi kemahiran). Kalau kita masih lagi dengan ‘kelembutan’ saya lihat sukar untuk mencabar pasukan lain,” katanya.

Nor Saiful yang juga ketua jurulatih hoki Tenaga Nasional Berhad berkata, program pembangunan pemain pelapis hoki perlu sentiasa ditingkatkan termasuk peluang menyertai pertandingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Kita ada ramai pemain berkaliber tapi mereka perlu pendedahan bermain di peringkat pertandingan lebih tinggi, jika duduk sini (Malaysia), tidak buat program, mereka tidak akan meningkat.

“Sebab itu saya galakkan pemain skuad projek 2020 beraksi dengan TNB dan TNB Thunderbolt dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) supaya dapat pendedahan. Dan kita lihat banyak bakat baharu dalam LHM.

“Sebabnya kita kurang pertandingan hoki kompetitif. Nak ke luar negara (pertandingan antarabangsa) bukan murah tapi pada masa sama tidak boleh beri alasan kerana perlu membangunkan skuad pelapis negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 6:30 AM