MBAPPE (kiri) menjadi buruan Real Madrid. - FOTO Agensi
Agensi

KYLIAN Mbappe menjadi sasaran nombor satu Real Madrid pada musim panas dengan kelab itu sedia melaburkan £240 juta (RM1.28 bilion) untuk mendapatkan bintang muda Perancis berusia 20 tahun itu.

Zinedine Zidane mengidam khidmat penyerang Paris Saint-Germain itu dalam usaha merombak pasukan selepas kembali menjadi pengurus di Bernabeu buat kali kedua.

Bagaimanapun, sebarang usaha membawanya keluar daripada ibu kota Perancis tampak mustahil tetapi Real kini yakin misi itu dapat dilaksanakan.

France Football yang memaparkan wajah Mbappe dan Zidanedi di muka hadapan bertajuk ‘Operasi Mbappe’ melaporkan pengurus itu mempunyai dana mencukupi memperkasakan skuadnya.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez tiada masalah memperuntukkan £430 juta (RM2.3 bilion) kepada Zidane untuk tujuan itu dengan £90 (RM483 juta) bakal diraih hasil penjualan Gareth Bale ke kelab Liga Perdana.

Real terdesak membuat rombakan di bahagian serangan menjelang jendela perpindahan akan datang. Kegagalan mereka mencari pengganti setanding Cristiano Ronaldo menyebabkan mereka hilang sengat dalam kempen La Liga dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.

Mbappe yang membantu Perancis muncul juara Piala Dunia lalu mempamerkan prestasi cemerlang di Paris sejak berpindah dari Monaco pada 2017.

Dia kini muncul penjaring terbanyak PSG dengan 31 gol dalam 35 penampilan dalam semua kejohanan musim ini.

Gergasi Sepanyol itu dikaitkan dengan beberapa pemain sejak beberapa minggu lalu dalam usaha mengejar Barcelona dalam saingan domestik dan kelab elit Eropah dalam saingan Liga Juara-Juara.

Liverpool menolak sebarang usaha memikat pemain sayap Sadio Mane, menurut akhbar Marca.

Minat terhadap pemain berusia 2 tahun ini makin meningkat selepas prestasinya makin cemerlang dengan 53 jaringan dan 21 bantuan gol bersama skuad Jurgen Klopp.

Zidane turut berminat membawa masuk pemain Chelsea, Eden Hazard yang sekian lama dikaitkan dengan Real sebelum ini. Hazard memasuki tahun akhir kontrak di Stamford Brdige dan mungkin musim terakhirnya bersama kelab itu.

Paul Pogba turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona selepas ejenya Mino Raiola bersetuju dengan kontrak lima tahun berjumlah £89.5 juta (RM480 juta).

Tetapi, menurut Marca minggu lalu, Pogba kembali dalam radar La Liga selepas Zidane dan Real turut menaruh minat terhadap pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 11:48 AM