Faisal harap Pahang raih tiga mata menentang FELDA United. FOTO NSTP


SKUAD Pahang yang menduduki tangga kedua Liga Super ketika ini mahu mencatat keputusan lebih baik sebaik saingan bersambung. 

Justeru, pemain pertahanan Tok Gajah, Mohd Faisal Rosli berkata, persembahan menyakinkan dalam enam perlawanan lalu diharap berterusan menjelang pertemuan menentang FELDA United FC, Sabtu ini. 

"Kami perlu mengekalkan prestasi cemerlang untuk memastikan Pahang tidak ketinggalan jurang mata yang besar dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT). 

"Oleh itu, pertemuan dengan The Fighters di Jengka, Maran itu memerlukan kerjasama dan percaturan terbaik untuk tambahan tiga mata buat skuad Tok Gajah. 

"Saya harap rakan sepasukan dapat beraksi dengan mempamer semangat juang tinggi seperti yang dipersembahkan sebelum liga berehat biarpun FELDA United dijangka memberi saingan sengit," katanya. 

Namun, Mohd Faisal atau Tocang berkata, skuad itu tidak boleh memandang mudah keupayaan akan diberikan skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil itu. 

"Walaupun The Fighters melakukan perubahan dalam senarai pemain, kami perlu fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak boleh mempersia-siakan segala peluang dimiliki. 

"Kami tidak boleh kehilangan mata dan perlu menang untuk memberi tekanan kepada JDT," katanya. 

Selepas enam perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh itu berada di tangga kedua liga dengan 14 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berkelebihan dua mata. 

Lebih membanggakan, skuad Tok Gajah mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 2:42 PM