PENGALAMAN luas Piya (kiri) bakal dimanfaatkan Kelantan musim ini.
Attirmidzie Rahman

PEMAIN tengah Kelantan Mohd Badhri Radzi mengidam penampilan pertama bersama pasukan pada perlawanan Liga Perdana berdepan Terengganu FC II (TFCII), Jumaat ini.

Keinginan itu disuarakan pemain yang turut dikenali sebagai Piya itu selepas berehat panjang daripada beraksi dalam saingan kompetitif susulan beberapa faktor.

Piya berkata, dia kini berusaha menyakinkan ketua jurulatih Kelantan, Marko Kraljevic supaya diberi peluang beraksi dalam perlawanan itu.

Katanya, dia sudah memulakan sesi latihan bersama Kelantan minggu ini dalam masa sama turut berusaha membentuk keserasian bersama rakan pasukan.

"Jika dapat diturunkan pada Jumaat ini, saya akan memastikan pasukan buat yang terbaik sebab kita mengetahui Kelantan mempunyai pemain muda yang bagus dan ada yang mempunyai pengalaman di peringkat kebangsaan.

"Saya yakin dengan kelebihan bermain di halaman sendiri, Insya-Allah kemenangan dapat berpihak kepada Kelantan dan saya juga harapkan sokongan padu penyokong untuk turun memberi semangat kepada pemain," katanya.

Terdahulu, Piya membuat pusingan 'U' bersama pasukan Kelantan apabila kembali mengikat kontrak selama semusim selepas pasukan asalnya, Perlis dibatalkan penyertaan daripada menyertai Liga Malaysia (Liga-M).

Dalam perkembangan sama, Piya turut yakin Kelantan mampu kembali ke saingan Liga Super musim hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 10:58 AM