SUMAREH (tengah) kembali beraksi untuk Pahang selepas menamatkan misi bersama Harimau Malaya.

"PAHANG perlu memberi tekanan kepada lawan untuk memastikan kedudukan teratas liga menjadi milik pasukan selepas ini," menurut pengurus Datuk Mohammed Suffian Awang yang turut menggesa skuad Tok Gajah mempamerkan prestasi konsisten apabila saingan liga  kembali bersambung. 

Justeru, Pahang yang bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka pada Sabtu ini bertemu FELDA United FC menyasarkan misi mengutip tiga mata. 

Beliau berkata, kejayaan menduduki tangga kedua liga selepas enam perlawanan membuktikan bahawa skuad itu kini berada pada prestasi terbaik. 

"Namun, dengan jadual perlawanan yang masih panjang, skuad kendalian Dollah Salleh itu perlu mempertingkatkan lagi kualiti perlawanan.” 

Dalam pada itu, Mohammed Suffian mengharapkan pemain yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) bebas daripada kecederaan. 

Katanya, ia bagi memastikan percaturan terbaik dapat dilakukan Dollah untuk memastikan skuad Tok Gajah yang diturunkan benar-benar cergas. 

"Saya percaya sepanjang mereka mewakili negara, komitmen mereka akan lebih mantap dan bertenaga," katanya. 

Pemain Pahang yang menyarung jersi negara ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih bersama skuad Tan Cheng Hoe manakala  R Dinesh dan Faisal Abdul Halim dengan Datuk Ong Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 12:33 PM