RONALDO mengalami kecederaan selepas setengah jam perlawanan kelayakan Euro 2020 di mana Portugal seri 1-1 dengan Serbia. FOTO AFP
RONALDO mengalami kecederaan selepas setengah jam perlawanan kelayakan Euro 2020 di mana Portugal seri 1-1 dengan Serbia. FOTO AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo akan menjalani ujian lanjutan di Turin lewat hari ini untuk kembali cergas menjelang dua aksi Liga Juara-Juara membabitkan Juventus dan Ajax selepas mengalami kecederaan paha ketika tugasan antarabangsa bersama Portugal.

Pemain berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan selepas setengah jam perlawanan kelayakan Euro 2020 di mana Portugal seri 1-1 dengan Serbia.

Juventus berkata ujian awal di Portugal mendapati terdapat ‘kecederaan kecil’ pada paha kanan Ronaldo, dengan aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax berlangsung 10 April ini.

Ronaldo pergi ke Barcelona atas urusan peribadi semalam dan bukannya untuk mendapatkan rundingan perubatan dan bintang Portugal itu kemudiannya memuat naik gambarnya di media sosial.

Media Itali melaporkan pemenang Ballon d’Or lima kali itu menaiki jet peribadi kembali ke Turin awal pagi ini dengan ujian perubatan di Juventus dijadualkan lewat hari ini.

Namun Ronaldo sudah pasti bakal terlepas tiga aksi Serie A iaitu menentang Empoli pada Ahad, Cagliari pada 2 April dan AC Milan empat hari kemudian.

“Saya tidak risau, saya kenal tubuh saya. Saya percaya dalam tempoh kurang dua minggu lagi, saya akan pulih,” kata Ronaldo selepas perlawanan menentang Serbia.

Kontinjen pemain antarabangsa Juventus akan kembali berlatih hari ini ketika pasukan juara itu memburu gelaran liga kelapan berturut-turut.

Juventus mendahului Napoli sebanyak 15 mata biarpun tewas perlawanan terakhir sebelum aksi antarabangsa 0-2 kepada Genoa dengan Ronaldo kali pertama direhatkan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 7:54 AM