RABIOT digantung selepas berparti di sebuah kelab malam di Paris susulan penyingkiran PSG daripada Liga Juara-Juara di tangan Manchester United. FOTO Agensi
RABIOT digantung selepas berparti di sebuah kelab malam di Paris susulan penyingkiran PSG daripada Liga Juara-Juara di tangan Manchester United. FOTO Agensi
AFP

PEMAIN tengah Paris Saint-Germain Adrien Rabiot bertemu dengan pegawai kelab awal pagi ini untuk mengetahui sama ada penggantungan tugasnya mungkin membawa kepada penyingkirannya oleh juara Perancis itu.

Keputusan mengenai nasib Rabiot, 23, yang ketika ini digantung PSG kerana enggan menandatangani lanjutan kontrak hanya akan diketahui dalam tempoh dua hari, kata kelab itu.

Rabiot digantung selepas berparti di sebuah kelab malam di Paris susulan penyingkiran PSG daripada Liga Juara-Juara di tangan Manchester United.

Dia kini diletakkan dalam status 'mis a pied', sejenis penggantungan di Perancis di yang sering menyebabkan seseorang pekerja itu dipecat.

Pengarah sukan PSG Antero Henrique berkata kelab itu tidak gembira dengan sikap pemain itu.

“Saya fikir perilaku dan sikap tidak profesional pemain seperti Adrien Rabiot terhadap kelab, rakan sepasukan dan peminat sukar diterima,” kata Henrique mengenai insiden malam itu.

“Ingat, sehingga 30 Jun 2019, dia masih sebahagian daripada skuad.”

Pemain Perancis berusia 23 tahun itu tidak menyarung jersi PSG sejak awal Disember apabila enggan menandatangani kontrak baharu dengan media mendakwa ibu pemain itu yang juga ejennya, menyinggung kelab itu.

Dia kemudian dipaksa berlatih dengan skuad simpanan namun membuat aduan mahkamah dan akhirnya berjaya mengarahkan kelab kembali meletakkannya dalam skuad utama.

Rabiot yang turut membuat lebih daripada 150 penampilan di liga utama turut menolak peluang berada dalam skuad Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 10:09 AM