KEJOHANAN tenis beregu campuran Piala Hopman di Perth ditamatkan selepas 31 tahun dan digantikan dengan Piala Pasukan Dunia ATP.
AFP

Kejohanan tenis beregu campuran Piala Hopman di Perth ditamatkan selepas 31 tahun dan digantikan dengan Piala Pasukan Dunia ATP, menurut penganjur dalam rombakan pembuka tirai kalendar tenis.

Dua daripada tiga bandaraya bakal menjadi tuan rumah kejohanan yang hanya membabitkan peserta lelaki iaitu Sydney dan Brisbane sudah pun diumumkan dengan Perth menjadi bandaraya ketiga.

Ia bermakna Piala Hopman yang dimenangi gandingan Switzerland Roger Federer dan Belinda Bencic tahun ini, terpaksa dikorbankan.

“Ketika ramai melihat kepada perubahan ini dan berkata kami kehilangan sesuatu, kami sebenarnya meraih sesuatu,” kata pengarah Tenis Australia Craig Tiley.

“Acara global yang akan disiarkan di seluruh dunia, akan mengetengahkan bandaraya hebat ini (Perth) ke seluruh dunia.

“Piala ATP akan melancarkan musim tenis global untuk pemain lelaki, ini adalah acara mereka dan amat bermakna kepada mereka, malah mereka menyokongnya 100 peratus.”

Pengasas Piala Hopman yang juga legenda tenis Paul McNamee memberitahu ABC ia hari yang menyedihkan tetapi ia memberi ruang kepada kejohanan itu diadakan di lokasi lain.

“Tiada apa yang lebih dekat dengan penduduk di bandar ini selain Piala Hopman di Perth, jadi saya berasa sedih ia tidak akan ada lagi dan bimbang di mana Piala Hopman pada masa hadapan,” katanya.

ATP yang menganjurkan kejohanan buat atlet lelaki membuat undian di London awal tahun ini untuk menganjurkan kejohanan Piala ATP yang membawa 750 mata ranking ke Australia.

Ia akan dipertandingkan pada 3 Januari selama 10 hari menjelang Terbuka Australia, Grand Slam pertama tahunan, bermula tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 1:53 PM