AFP

Perjalanan Manchester City dalam 15 perlawanan untuk mencatat sejarah menjulang empat gelaran bermula dengan pertemuan berdepan pasukan kelompok tercorot Fulham malam esok.

Pengendali City Pep Guardiola enggan membuka mulut mengenai peluangnya menyapu bersih empat gelaran dalam tempoh dua bulan yang mencabar ini.

Bagaimanapun selepas menjulang Piala Liga, skuad juara Inggeris itu kekal di kedudukan terbaik untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris dan pasukan pilihan menjulang Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Renteten 19 kemenangan daripada 20 perlawanan terakhir mereka meletakkan City di landasan tepat dalam semua kejohanan, namun dengan rehat aksi antarabangsa, ia tidak menjejaskan rentak pemain tetapi masa terbaik untuk mereka kembali cergas.

Sergio Aguero, David Silva dan Fernandinho yang semakin berusia tidak lagi bersama-sama Argentina, Sepanyol dan Brazil buat masa ini.

Manakala pertahanan City Aymeric Laporte terus dipinggirkan pengendali Perancis Didier Deschamps.

Kevin de Bruyne, Vincent Kompany, Nicolas Otamendi, John Stones, Fabian Delph dan Benjamin Mendy pula diberi lebih masa untuk pulih daripada kecederaan.

“Mereka perlu bersama pasukan antarabangsa, mereka perlu pergi, menikmati perlawanan dan bermain untuk negara mereka tetapi saya harap mereka akan kembali cergas seperti sekarang,” kata Guardiola.

City melangkah ke rehat perlawanan antarabangsa dengan ketinggalan 0-2 sebelum menewaskan Swansea 3-2 pada suku akhir Piala FA.

“Mungkin mereka akan pergi, menjaringkan gol dan kembali dengan rentak yang sama, siapa tahu? Saya hanya mahu mereka berada di sini dan cergas.”

Guardiola juga mempunyai pilihan lain. Pemain utama seperti Ilkay Gundogan, Leroy Sane dan Bernardo Silva pulang tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu, prestasi cemerlang Raheem Sterling di kelab itu berlanjutan ke peringkat antarabangsa apabila meledak empat gol ketika England membelasah Republik Czech dan Montenegro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 10:51 AM