KEAN (kanan) perlu manfaatkan peluang untuk menyerlah ketika ketiadaan Ronaldo. FOTO/AGENSI
KEAN (kanan) perlu manfaatkan peluang untuk menyerlah ketika ketiadaan Ronaldo. FOTO/AGENSI
AFP

KETIADAAN Cristiano Ronaldo akibat kecederaan mungkin memberi peluang buat Moise Kean menyerlah bersama Juventus selepas pemain itu mempamerkan aksi cemerlang bersama Itali pada rehat aksi antarabangsa.

Ronaldo dijangka terlepas tiga perlawanan Serie A selepas ini iaitu menentang Empoli awal pagi Ahad, Cagliari pada 2 April dan AC Milan empat hari kemudian selepas mengalami kecederan pada paha kanan ketika menyarung jersi Portugal.

Pemain berusia 34 tahun itu direhatkan Juventus pada perlawanan Serie A sebelum ini, selepas jaringan hatrik ke atas Atletico Madrid membolehkan mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax.

Tanpa bintang Portugal itu skuad Massimiliano Allegri mengalami kekalahan pertama musim ini, 0-2 kepada Genoa.

Juventus ketika ini masih memburu gelaran Scudetto kelapan berturut-turut dengan jurang 15 mata berbanding Napoli di tangga kedua.

Justeru Kean berharap mendapat peluang untuk mengetengahkan bakatnya untuk perlawanan pertama di laman sendiri menentang Empoli sejak kejayaan menewaskan Atletico di Stadium Allianz.

“Saya sentiasa cuba bersiap sedia dan sentiasa berlatih supaya bersedia apabila masanya tiba,” kata Kean.

“Saya belajar daripada Cristiano Ronaldo, sewaktu latihan, saya mencuri rahsianya. Saya boleh belajar daripadanya. Ia berlaku setiap hari.”

Kapten Juventus Giorgio Chiellini memberi amaran kepada pasukannya agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian kecil di Liga Juara-Juara itu.

“Kami mempunyai kelebihan besar di puncak liga tetapi saya mahu isu Scudetto diselesaikan secepat mungkin,” kata Chiellini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 11:41 AM