CAHILL antara pemain terbilang dalam sejarah Socceroos. — FOTO Agensi
AFP

PENJARING gol terbanyak Australia sepanjang zaman Tim Cahill mengumumkan persaraannya hari ini sekali gus menutup buku karier seorang daripada pemain bola sepak tersohor negara itu.

Pemain berusia 39 tahun itu – yang menjaringkan 50 gol dalam 108 penampilan buat Socceroos dan beraksi pada empat Piala Dunia – menyatakan dia tidak mahu menyambung kontrak selepas menamatkan aksi dengan kelab Liga Super India, Jamshedpur.

Bekas penyerang Everton dan Millwall, yang bersara daripada bola sepak antarabangsa November lalu berkata, dia bercadang untuk menjadi jurulatih.

“Saya mahu terus bermain, pada usia 39 tahun, saya masih beraksi dengan bagus selama enam bulan di India.


CAHILL (dua kanan) ketika beraksi dengan Everton dalam Liga Perdana Inggeris. — FOTO Agensi

“Tapi saya berminat dengan TV, mahu memulakan lesen kejurulatihan kelas A dan menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga serta berseronok sedikit.

“Saya akan menggunakan masa dengan belajar lebih mendalam untuk menjadi jurulatih.”

Cahill menghabiskan 14 tahun di England bersama Millwall dan Everton, menjaringkan lebih 100 gol sebelum bermain di Amerika Syarikat, China dan India.

Pada 2006 di Jerman, dia muncul pemain pertama Australia menjaringkan gol pada Piala Dunia sebelum turut meledak pada kejohanan 2010 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 9:37 PM