FERRARI'S Sebastian Vettel. FOTO Reuters
Reuters

FERRARI mempamerkan isyarat kebangkitan pada sesi latihan Grand Prix Bahrain awal pagi tadi dengan Sebastian Vettel dan rakan sepasukan baharunya Charles Leclerc mendahului catatan masa berbanding pelumba lain.

Pelumba Jerman itu, juara dunia Formula Satu empat kali yang ketinggalan kepada pelumba Monaco itu pada sesi pertama, cemerlang di litar padang pasir Shakir sepanjang 5.4 kilometer dengan catatan satu minit 28.846 saat, mengatasi Leclerc dengan 0.035s.

Juara bertahan Lewis Hamilton, keempat terpantas hari itu di belakang rakan sepasukan Valtteri Bottas, adalah pelumba terpantas Mercedes pada sebelah petang apabila kedua-duanya bertukar kedudukan.

Pelumba Britain itu masih ketinggalan 0.603s berbanding Vettel manakala Bottas, juara pembuka tirai di Australia dua minggu lalu, hanya ketinggalan kurang satu saat berbanding Leclerc pada sesi tengahari.

Kelajuan yang ditunjukkan Ferrari awal pagi tadi melegakan pasukan Itali itu biarpun pencabar semakin menghampiri mereka sewaktu kelayakan dan perlumbaan awal pagi Isnin.

Dianggap sebagai pilihan sebelum musim perlumbaan selepas mencatat masa terbaik pada sesi ujian, pasukan yang berpangkalan di Maranello agak perlahan di Melbourne.

Vettel dan Leclerc menduduki tangga keempat dan kelima dan hampir seminit di belakang Bottas, namun dari latarbelakang sejarahnya Ferrari lebih bernasib baik di Bahrain dengan enam kemenangan dan Vettel menjuarainya pada tahun lalu dan 2017.

“Keadaan kereta masih belum di tahap sebenar seperti di Barcelona. Jelas sekali ia lebih baik hari ini berbanding Australia.

“Secara keseluruhannya ia hari yang baik tetapi kami perlukan kepantasan esok. Saya belum cukup gembira. Kami menggunakan strategi berbeza berbanding pelumba dan pasukan lain dan itulah sebabnya kami perlu memperbaikinya esok.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:10 AM