JUVENTUS. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Juventus Massimiliano Allegri mengesahkan awal pagi tadi bahawa Cristiano Ronaldo yang mengalami kecederaan dikhuathiri terlepas aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax, 10 April ini.

Ronaldo, juara Euro lima kali, meninggalkan padang akibat masalah paha ketika mengetuai skuad Portugal sewaktu menentang Serbia awal pagi Selasa lalu.

“Dia sudah mula bergerak tetapi tidak akan kembali berlatih sehinggalah berasa cergas. Wujud risiko dia mungkin terlepas aksi pertama menentang Ajax,” kata Allegri.

“Kami perlu berhati-hati kerana kini berada dalam fasa penting musim ini. Adalah lebih baik dia terlepas satu perlawanan dan kembali 100 peratus cergas supaya tiada risiko kecederaan berulang.

“Adalah lebih baik terlepas satu perlawanan daripada tidak beraksi selama dua bulan.”

Juventus, juara Serie A berkunjung ke Amsterdam sebelum menanti kunjungan kelab Belanda itu pada 16 April, ketika kelab Itali itu memburu gelaran Eropah pertama sejak 1996.

Juve hampir pasti menjulang gelaran Scudetto buat musim kelapan berturut-turut dengan kelebihan 15 mata di depan Napoli di tangga kedua dengan baki 10 perlawanan musim ini bermula aksi menentang Empoli awal pagi Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 11:28 AM