KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak ( kiri,berdiri) bersama pemain Kedah. FOTO Amran Hamid.
Izzali Ismail

PENGENDALI Kedah Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang serta komitmen yang ditunjukkan oleh semua. pemainnya walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 berdepan pendahulu liga Johor Darul Ta’zim dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

"Sikap tidak menyerah kalah serta komitmen tinggi membolehkan mereka bangkit semula menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol pada awal minit perlawanan,” katanya.

“Saya rasa bukan mudah bagi mana-mana pasukan untuk berhadapan JDT dan saya bangga Kedah dapat 'mencuri' dua mata dari JDT dan seterusnya menyekat JDT mengutip mata penuh serta menjarakkan kedudukan mereka di puncak Liga Super.

"Namun apa yang penting adalah semua pemain saya memberi usaha 100 peratus mereka dan juga saya ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Hijau Kuning yang hadir memberi sokongan motivasi kepada pasukan yang mereka sayangi."

Aidil turut mengakui beliau sudah melakukan beberapa perubahan posisi termasuk taktikal bagi kerana tidak mahu pasukan lawan menghidu corak permainan yang sama seperti yang selalu dilihat.

"Berbanding aksi menentang Pahang sebelum ini saya telah melakukan tiga pertukaran dengan meletakkan Amirul Hisyam, Azmeer dan Farhan Roslan yang kembali bersama pasukan,” katanya.

Selain perubahan taktikal, Aidil turut memuji pemain Fernando Rodriguez yang berjaya mencetak gol untuk Kedah selain aksi pertahanan Khairul Helmi yang turun menggantikan pemain import Renan Alves yang menjalani penggantungan dan juga Azmeer Yusof yang menggantikan Alif Yusof pada perlawanan kali ini.

"Rodriguez berjaya membuktikan ketajamannya pada perlawanan kali ini manakala pemain pertahanan pula mampu mempertahankan benteng Kedah dengan baik termasuk Ifwat Akmal yang cemerlang dan berjaya menghalang beberapa percubaan bahaya JDT,” kata Aidil.

"Ini dapat dilihat kerana pemain-pemain ini menunjukkan aksi terbaik mereka melalui usaha serta kerja keras dalam latihan yang kita jalankan sebelum ini.

"Inilah kepercayaan yang saya berikan kepada mereka untuk turun beraksi dan mereka kelihatan teruja dalam aksi malam ini dan apabila perkara ini berlaku, mereka akan beri aksi 100 peratus sepanjang perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 12:49 PM