Pemain Malaysia, Aiman Rozemi (tengah) cuba menjaringkan gol ketika menentang Kanada. FOTO Effendy Rashid.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki negara menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah di tempat ketiga selepas menewaskan Kanada 4-2 pada penentuan tempat ke-3/4 di Ipoh, hari ini.

Meskipun sedar kemenangan itu tidak akan dapat mengubah 'cerita' kegagalan Malaysia yang disasarkan untuk mara ke pentas final, skuad bimbingan Roelant Oltmans tetap bersemangat untuk memburu penamat terbaik.

Baru segar daripada kemenangan 3-2 ke atas lawan sama pada perlawanan terakhir saingan round robin itu kelmarin, skuad negara bagaimanapun ketinggalan selepas Mark Pearson menjaringkan gol padang untuk Kanada minit ke-14.

Namun penyerang skuad negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berjaya menyamakan kedudukan minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti.

Tonggak baru skuad negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjadikan kedudukan 2-1 selepas menyumbang gol hasil jaringan padang minit ke-29.

Seminit selepas itu, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menambah gol ketiga, juga menerusi jaringan padang.

Bersambung separuh masa kedua, penyerang sensasi negara, Faizal Saari mengukuhkan kedudukan Malaysian Tigers apabila menyumbang gol keempat selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-45.

James Wallace menambah gol kedua Kanada minit ke-59 namun ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 9:08 PM