SOLSKJAER (dua kiri) meraikan kemenangan bersama Paul Pogba selepas wisel penamat di Old Trafford, Manchester, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

OLE Gunnar Solskjaer meraikan perlawanan pertamanya sebagai pengurus tetap Manchester United dengan kemenangan 2-1 ke atas Watford namun beliau berasa lega kerana berjaya mengatasi kebangkitan lewat lawan.

Pengendali berusia 46 tahun dari Norway itu – yang dinamakan sebagai pengurus tetap Khamis lalu selepas membantu melonjakkan pasukan susulan pemecatan Jose Mourinho – mengakui beliau gembira dengan keputusan itu berbanding persembahan.

Kemenangan itu melonjakkan United ke tangga keempat dan potensi layak ke Liga Juara-Juara musim depan sekalipun Arsenal boleh memintas mereka semula jika mengatasi Newcastle, awal pagi Selasa ini.

“Saya gembira dengan keputusan tapi tidak persembahan,” kata Solskjaer.


MARTIAL (tiga kiri) menjaringkan gol kedua United. — FOTO EPA

“Ia satu daripada perlawanan pertama selepas rehat tugasan antarabangsa yang anda tahu mungkin berbahaya dan mampu memakan diri.

“Ia tidak banyak berbeza buat saya kerana fokus sering kali terhadap perlawanan berikutnya tapi kami sebagai satu pasukan berasakan ia satu permulaan baru selepas kecewa di tangan Wolves (mereka kalah pada suku akhir Piala FA), ia bagaikan perlawanan pertama liga.”

Solskjaer, yang turut mengemudi United ke suku akhir Liga Juara-Juara, percaya pasukannya mampu membentuk momentum untuk berakhir di kelompok empat teratas.

United, pasukan tangga ketiga Tottenham, Arsenal dan Chelsea secara efektif bersaing bagi baki dua tempat ke Liga Juara-Juara – dua pasukan teratas Manchester City dan Liverpool kelihatan terlalu sukar untuk dikejar.

Marcus Rashford (minit ke-28) dan Anthony Martial (m-72) membantu United mendahului selesa sebelum Abdoulaye Doucoure membalas satu gol buat Watford pada minit ke-90 di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:55 AM