SEPAKAN percuma Messi yang mengelirukan pertahanan dan penjaga gol Espanyol, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

LIONEL Messi meneruskan aksi cemerlang ketika dua gol babak kedua termasuk sepakan percuma ‘kurang ajar’ membantu Barcelona mengalahkan Espanyol 2-0 awal pagi tadi dalam usaha mempertahankan kejuaraan La Liga Sepanyol.

Pelawat berjaya menyukarkan musuh setempat di Nou Camp, namun sepakan percuma lambung Messi yang melepasi benteng dari jarak 17 meter dan gol kedua lewat aksi membolehkan juara bertahan itu kekal 10 mata di depan pasukan tangga kedua Atletico Madrid, yang membenam Alaves 4-0.

Messi kini menjaringkan lapan gol dalam empat aksi terakhir buat Barca dan mendahului senarai penjaring terbanyak La Liga dengan 31 jaringan, 13 gol di depan rakan sepasukan Luis Suarez.

“Saya tidak tahu dia akan melakukan (sepakan percuma) sebegitu,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.


MESSI (kiri) meraikan gol kedua di Nou Camp. — FOTO Reuters

“Suka saya katakan kami sudah merancangnya, tapi ia tidak benar, ia terpulang kepadanya. Dia tidak perlukan pendapat saya dan dia menjaringkan gol.”

Ia saat terbaik buat pemain Argentina itu yang meraikan penampilan ke-675 bersama Barcelona, yang membolehkannya mengatasi Andres Iniesta di tangga kedua dalam senarai sepanjang zaman kelab itu – 102 di belakang Xavi Hernandez.

Dia kembali ke kancah antarabangsa pada pertengahan minggu tetapi hambar apabila Argentina tewas aksi persahabatan kepada Venezuela, namun Valverde lega ia tidak menjejaskan persembahan Messi awal pagi tadi.

“Messi pemain yang sama tidak kira pasukan apa yang diwakilinya,” katanya.


COSTA (tengah) meledak gol kedua Atletico. — FOTO EPA

“Dia mungkin pemain yang sama jika beraksi di Australia... Kami bangga memilikinya, terlalu menggembirakan buat saya untuk melatihnya.”

Atletico bagaimanapun terus menekan Barcelona ketika Diego Costa menyumbat gol buat kali pertama sejak November lalu apabila menang bergaya di kelab tangga kelima Alaves.

Costa meledak gol pada minit ke-11 selepas Saul Niguez meletakkan Atletico di depan enam minit terdahulu. Alvaro Morata dan Thomas Partey melengkapkan kemenangan besar anak buah Diego Simeone.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 8:27 AM