ZOUMA (tengah) menanduk masuk gol pertama Toffees di Stadium London, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

EVERTON meledak dua gol pada babak kedua untuk meraih kemenangan 2-0 di West Ham United awal pagi tadi sekali gus melonjak ke kelompok 10 terbaik carta Liga Perdana Inggeris.

Everton, yang hadir pada perlawanan itu tanpa sebarang kemenangan liga di London dalam 10 kunjungan, mendahului pada minit kelima apabila Kurt Zouma menanduk masuk susulan sepakan sudut.

West Ham gagal mencabar pada perlawanan itu ketika Everton terus mendominasi, menggandakan kelebihan apabila Bernard menyudahkan satu gerakan menarik untuk menyumbat gol sulungnya dalam Liga Perdana.

Ejekan penyokong kedengaran di stadium ketika rehat namun West Ham tidak mampu meningkatkan permainan selepas itu dan tuan rumah mengakhiri perlawanan dengan hanya satu percubaan tepat.

BERNARD (dua kanan) meledak gol kedua Everton. — FOTO Reuters

Malah Everton sebaliknya hampir menambah gol ketiga apabila tandukan lewat Richarlison singgah di palang.

Everton mengatasi West Ham di tangga kesembilan carta selepas mencetus kekalahan pertama Hammers dalam tujuh aksi liga di gelanggang sendiri. West Ham merudum ke tangga ke-11.

“Amat mengecewakan kerana ia persembahan terburuk tahun ini,” kata pengurus West Ham, Manuel Pellegrini. “Anda tidak boleh kalah sebegitu – langsung tidak bersaing.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 8:52 AM