Pemenang bersama anugerah masing-masing (dari kiri) Zulkiflee, Rozliana, Wan Ibrahim, Nyuk Fah dan Amirul Sani sempena Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Saiful Affendy Sapran


KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) meletakkan sasaran untuk skuad ragbi lelaki negara layak beraksi buat kali pertama di Piala Dunia pada 2031.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, jangkamasa 12 tahun daripada sekarang itu adalah satu sasaran realistik.

"Kita boleh letak sasaran empat tahun daripada sekarang tetapi ia dilihat terlalu cepat. Lapan tahun pun masih sukar juga untuk kita layak dan atas faktor itu 12 tahun adalah paling realistik.

"Perancangan perlu dilakukan daripada sekarang dengan barisan pemain yang bakal beraksi itu ketika ini sedang di bangku sekolah.

"Untuk itu, program pembangunan perlu dirancakkan bagi membolehkan kita mencari pemain yang benar-benar berbakat," katanya selepas hadir pada majlis Anugerah Ragbi Kebangsaan (ARK) di Kuala Lumpur, semalam.

Shahrul Zaman Yahya.

Shahrul berkata, jika melihat kepada situasi semasa yang menyaksikan hanya satu slot sahaja untuk kuota benua Asia di Piala Dunia, maka ia pasti cukup sukar untuk Malaysia layak ke kejohanan berprestij itu.

"Ketika ini proses untuk layak ke Piala Dunia cukup sukar lebih-lebih lagi apabila hanya satu slot saja diberikan kepada Asia.

"Saya difahamkan Ragbi Asia sedang mengemukakan rayuan kepada Ragbi Dunia supaya kuota untuk pasukan Asia ditambah.

"Tetapi ia juga mungkin sukar kerana jurang perbezaan antara pasukan Asia dengan gergasi dunia lain sangat jauh.

"Apapun kami perlu bermula daripada sekarang sekiranya mahu memenuhi hasrat untuk beraksi di Piala Dunia 2031," katanya.

Terdahulu, pada Majlis ARK itu, KRM menganugerahkan beberapa anugerah kepada pemain ragbi seperti Penerima Anugerah Pemain Lelaki Terbaik 7 Sebelah Antarabangsa yang dinobatkan kepada Zulkiflee Azmi.

Sementara, Penerima Anugerah Pemain Wanita Terbaik Antarabangsa dimenangi Rozliana Mohd Ridwan dan Leftenan Muda Amirul Sani (Penerima Anugerah Pemain Lelaki Terbaik 15 Sebelah Antarabangsa).

Manakala Wan Ibrahim Wan Chik bagi Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup serta Lee Nyuk Fah (Penerima Anugerah Khas Ikon Ragbi Negara).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 7:33 PM