TARRAGONA (kiri) membuat percubaan ketika menentang Sabah awal musim ini. — FOTO Syamsi Suhaimi
Attirmidzie Rahman


PENYERANG import dari Uruguay, Raul Tarragona membuat keputusan mengejut apabila meninggalkan Kelantan berkuat kuasa serta-merta semalam.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Fazli Mohammad mengesahkan Tarragona meninggalkan pasukan itu.

“Keputusan ini dibuat melalui perbincangan bersama dan selepas mengambil kira pelbagai faktor, KRW terpaksa menghormati keputusannya (Tarragona) dan melepaskannya daripada pasukan ini berkuat kuasa semalam.

“Pengurusan KRW turut mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih atas sumbangan Tarragona membantu pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penyerang berusia 32 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak negeri itu yang memberi sokongan kepadanya ketika bersama pasukan.

“Keputusan ini dilakukan atas kehendak saya sendiri dan tiada desakan mana-mana pihak atau kaitan dengan isu pasukan Kelantan.

“Saya harap penyokong memahami situasi seorang pemain bola sepak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tarragona hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) sepanjang bersama The Red Warriors.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:47 AM