Karim (kiri) tidak mahu Speedy Jantan takut kepada Lalu Muhammad. FOTO NSTP
Karim (kiri) tidak mahu Speedy Jantan takut kepada Lalu Muhammad. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH pecut negara, Khairul Hafiz Jantan diingatkan agar tidak gentar dengan prestasi juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang memenangi acara 100 meter pada Grand Prix Terbuka Malaysia 2019 pada Sabtu lalu.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menegaskan setiap atlet mempunyai peluang yang terbuka untuk meraih emas dalam 100m dan 200m di Sukan SEA Filipina, penghujung tahun ini.

"Kita perlu memujinya kerana dia adalah juara remaja dunia namun atlet negara tidak boleh takut atau kecut dengannya.

Kita perlu berusaha dan mempunyai kebolehan melakukannya.

"Saingan 100m umpama "Touch n Go", peluang terbuka.

Sekarang dia kuat namun mungkin ada atlet yang lebih baik selepas ini.

Khairul Hafiz cedera namun dia masih mempunyai masa untuk berlatih bersungguh-sungguh," katanya.

Lalu melakarkan 10.20s untuk memenangi emas pada kejohanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Juara remaja dunia 2018 itu dilabel pencabar utama Khairul Hafiz mempertahankan emas Sukan SEA kerana kedua-duanya mempunyai catatan peribadi terbaik yang sama iaitu 10.18s.

Pada masa sama, Karim turut optimis pemegang rekod kebangsaan 200m, Russel Alexander Nasir Taib turut mampu menyumbang emas dalam acara berkenaan di Sukan SEA nanti.

Mengulas mengenai edisi pertama kejohanan berlangsung dua hari itu, Karim berpuas hati walaupun kekurangan penyertaan atlet luar negara yang dilihatnya lebih mengalih tumpuan dan fokus kepada Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) di Doha penghujung bulan ini.

"Tahun depan temasya Olimpik berlangsung, jadi kita akan cuba menarik atlet terbaik terutamanya dari Asia.

Kita boleh pertimbangkan untuk memberikan insentif wang tunai sekiranya mampu memecahkan rekod All-Comers.

Secara keseluruhan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan lapan emas, 15 perak dan 14 gangsa namun Karim tidak gusar apabila tiada sebarang rekod kebangsaan dilakar kerana masih di awal musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 3:45 PM