Roger Federer. FOTO EPA.
AFP

ROGER Federer melonjak di tempat ke empat dalam ranking yang dikeluarkan ATP hari ini selepas melakar kejayaan memenangi kejuaraan ke-101 dalam kariernya dengan menewaskan John Isner di Miami.

Pemain handalan Switzerland bertukar tempat dengan pemain Austria, Dominic Thiem yang terdahulu mendaki tangga ke empat selepas mengalahkan Federer dalam final di Indian Wells, dua minggu lalu.

Pemain yang semakin meningkat naik dari Greece, Stefanos Tsitsipas melonjak di tangga ke lapan iaitu kedudukan terbaik sepanjang kariernya.

Denis Shapovalov dari Kanada berada dalam ranking 20 terbaik ATP. FOTO AFP.

Sementara, pemain remaja Kanada, Denis Shapovalov berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik buat pertama kali berikutan pencapaian cemerlang mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Miami.

Felix Auger-Aliassime, 18, melonjak sebanyak 24 langkah untuk menduduki tempat ke-33 sekali gus mengikuti jejak cemerlang rakan senegara Denis Shapovalov yang turut berada dalam kelompok empat pemain terakhir di Florida sebelum tewas kepada juara bertahan Isner.

Novak Djokovic kekal selesa di kedudukan teratas ranking ATP walaupun tersingkir pada aksi kelompok 16 terakhir di Miami, dengan Rafael Nadal masih jauh mendahului di ranking ketiga Alexander Zverev ketika pemain Sepanyol itu mensasarkan untuk kembali selepas mengalami kecederaan untuk aksi pada musim gelanggang tanah liat.

Ranking ATP pada 1 April 2019 (Kelompok 10 Teratas):

1. Novak Djokovic (Serbia) 11,070 mata

2. Rafael Nadal (Sepanyol) 8,725

3. Alexander Zverev (Jerman) 6,040

4. Roger Federer (Switzerland) 5,590

5. Dominic Thiem (Austria) 4,765

6. Kei Nishikori (Japan) 4,200

7. Kevin Anderson (Russia) 4,115

8. Stefanos Tsitsipas (Jerman) 3,240

9. Juan Martin del Potro (Argentina) 3,225

10. John Isner (Amerika Syarikat) 3,085

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:50 PM