Andy Murray ketika mengalami kecederaan di Melbourne, Januari lalu. FOTO File Reuters.
Reuters

ANDY Murray kembali beraksi di gelanggang tenis selepas dua bulan menjalani pembedahan bahagian pinggang.

Murray, yang tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif sejak tewas di pusingan pertama di Terbuka Australia pada Januari berkata, bulan lepas dia mungkin boleh beraksi di Wimbledon dengan keadaannya ketika ini bebas daripada kecederaan selepas melakukan pembedahan.

Pemain berusia 31 tahun itu memuat naik video pendek menerusi Instagram, di mana dia kelihatan membuat pukulan di gelanggang terbuka dengan catatan : “Ini hanya permulaan.”

Murray pernah berkata dia tidak pasti sama ada boleh beraksi dalam undian perseorangan di Wimbledon, iaitu kejohanan yang dimenangi sebanyak dua kali.

Dia meletakkan sasaran kemungkinan beraksi dalam acara beregu pada kejohanan tahun ini yang mungkin memberi kurang tekanan kepada pinggangnya.

Juara tiga kali Grand Slam membandingkan situasi berkenaan seperti pemain beregu Amerika, Bob Bryan yang kembali ke gelanggang dalam tempoh lima setenah bulan selepas mengalami prosedur yang hampir sama.

Tahun ini Wimbledon dijadualkan bermula pada 1 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:22 PM