Pemain Terengganu FC, Ashaari Samsudin diasak pemain Ultimate FC, Ahmad Zailan Zainal dalam aksi Piala FA. FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


TERENGGANU FC (TFC) tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga saingan Piala FA selepas berjaya mengetepikan kelab Liga M3, Ultimate FC 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah.

Bagaimanapun aksi hambar yang diperagakan anak buah Irfan Bakti Abu Salim selepas jaringan pertama Ashari Samsudin pada minit pertama perlawanan ternyata mengecewakan lebih 2,000 peminat setia di Kuala Terengganu.

Ketiadaan arkitek pasukan, Lee Tuck dan pemain termahal dari Ivory Coast, Kipre Tchetche yang tidak disenaraikan dalam pasukan jelas merencatkan rentak skuad Penyu itu.

Irfan melakukan dua pertukaran pada babak kedua permainan dengan memasukkan Sharin Sapien dan Ahmad Syamim Yahya untuk menghidupkan jentera tengah pasukan.

Skuad Penyu berjaya menambah gol kedua minit ke-73 menerusi pemain pertahanan, Igor Zonjic yang menanduk masuk hantaran Sanjar Shaakhmedov.

Lima minit kemudian Shaakhmedov menghasilkan jaringan ketiga melalui tandukan selepas bola muntah daripada tampanan penjaga gol, Afif Aizad Azman.

Kapten pasukan, Nasrullah Hanif Johan tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring gol keempat pasukannya melalui sepakan penalti selepas pemain gantian, Khairul Anwar Shahrudin dijatuhkan pertahanan lawan.

Ketika permainan sebenar berbaki seminit untuk ditamatkan pemain sayap, Khairul Izuan Rosli menambah derita pelawat selepas mudah menolak masuk untuk gol kelima pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 11:36 PM