DEENEY (kanan) meledak gol ketiga Watford di Vicarage Road, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

FULHAM tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris selepas kecundang 1-4 di Watford awal pagi tadi, keputusan yang meletakkan mereka 16 mata di belakang zon selamat dengan berbaki lima perlawanan.

Kelab barat London itu, yang dimiliki ahli perniagaan Amerika Syarikat, Shahid Khan, kembali ke Liga Kejuaraan hanya semusim selepas memenangi aksi playoff.

Mereka turun bersama Huddersfield Town, yang mana Sabtu lalu muncul pasukan kedua dalam sejarah tersingkir daripada Liga Perdana sebelum hujung Mac.

Tempat ketiga tercorot kini dihuni Cardiff City namun Burnley, Southampton dan Brighton semuanya hanya lima mata di depan kelab Wales itu.


GOL Babel gagal menyelamatkan Fulham daripada tersingkir. — FOTO Reuters

Fulham tampil pada aksi itu menyedari mereka perlu mengelakkan kekalahan untuk meneruskan perjuangan mengelak tersingkir namun Abdoulaye Doucoure meletakkan Watford di depan pada minit ke-23 dengan rembatan padu kaki kiri dari penjuru kotak penalti.

Fulham, yang tidak menang di laman lawan sepanjang musim, bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ryan Babel 10 minit kemudian, pemain Belanda itu menyambut hantaran Ryan Sessegnon sebelum menggelecek penjaga gol Ben Foster.

Namun selepas Will Hughes membantu Watford kembali mendahului pada minit ke-63 dengan tendangan voli dari penjuru kotak penalti, Fulham semakin rapuh.

Troy Deeney menjadikan kedudukan 3-1 dengan tampanan mudah enam minit kemudian sebelum Kiko Femenia menambah gol keempat pada minit ke-75 bagi melengkapkan kekecewaan Fulham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:59 AM