MESSI kini pendahulu penjaring terbanyak La Liga. — FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Barcelona, Lionel Messi tampil dari bangku simpanan untuk mencetus kebangkitan lewat pendahulu La Liga Sepanyol itu yang ketinggalan 2-4 pada masa kecederaan sebelum seri 4-4 dengan kelab bermasalah Villarreal, awal pagi tadi.

Kelab Catalan itu mengelak kekalahan pertama liga sejak November lalu dengan jaringan kaki kiri Luis Suarez pada minit ketiga masa kecederaan selepas kapten dan penjaring terbanyak Messi memberikan mereka harapan dengan sepakan percuma pemusnah pada minit ke-90.

Keputusan seri itu menyaksikan kelebihan Barca di depan Atletico Madrid, yang terdahulu menang 2-0 di laman sendiri ke atas Girona, dikurangkan kepada lapan mata menjelang pertembungan dua pasukan teratas Sabtu ini di Nou Camp. Barcelona mengumpul 70 mata manakala Atletico 62 dengan berbaki lapan perlawanan.

Walaupun tanpa Messi, Gerard Pique dan Ivan Rakitic dalam kesebelasan utama, pelawat masih mendahului menerusi gol Philippe Coutinho pada minit ke-12, manakala penyerang Brazil, Malcolm mengukuhkan kedudukan dengan tandukan kencang.


JARINGAN Suarez pada minit ke-93 selamatkan Barca daripada tewas. — FOTO EPA

Namun Villarreal, yang memulakan aksi satu mata di atas zon penyingkiran, mula bangkit dengan jaringan pemain berusia 19 tahun Samuel Chukwueze pada pertengahn babak pertama.

Penyerang Cameroon, Karl Toko Ekambi menggunakan kesempatan susulan kesilapan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen untuk menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat dan Vicente Iborra melengkapkan kebangkitan menakjubkan tuan rumah dengan jaringan selepas sejam.

Bintang Barca dari Argentina, Messi dibawa masuk untuk menyelamatkan pasukan juara itu namun Villarreal sebaliknya menghukum mereka menerusi gol pemain gantian Carlos Bacca.

Pemain Villarreal, Alvaro Gonzalez kemudiannya dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua empat minit sebelum tamat, memberikan ruang buat Messi dan Suarez unttuk meledak buat Barcelona dan menghasilkan penyudah menakjubkan.


COUTINHO (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stadium La Ceramica, Vila-real, awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Ia perlawanan yang gila, mana-mana pasukan dilihat boleh menang selesa dan ia membuktikan kekuatan liga ini, yang mana anda tidak boleh menganggap anda boleh menang mudah,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Amat penting tidak kalah, sekalipun kami mahukan tiga mata. Perasaan sensasi kami rasakan dengan kebangkitan lewat ini membuatkan kami berasa amat bagus, ia bermakna kami tidak mudah berputus asa. Jika kami kalah ia mungkin satu perasaan berbeza bagi aksi menentang Atletico.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 10:41 AM