KEAN menjaringkan gol kedua Juve di Arena Sardegna, Cagliari, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

BINTANG sedang meningkat Itali, Moise Kean menjadi sasaran ejekan perkauman selepas dia meneruskan rentak jaringan untuk membantu Juventus menghampiri kejuaraan Serie A kelapan berturut-turut dengan kemenangan 2-0 ke atas Cagliari, awal pagi tadi.

Kean, 19, menjaringkan gol keempatnya dalam empat aksi liga pada minit ke-85 selepas pemain pertahanan Leonardo Bonucci menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-22 di Sardinia.

Cara pemain muda itu meraikan jaringan bagaimanapun mencetus kemarahan penonton di Sardinia yang mengejek dan mengherdik pemain remaja itu selepas dia dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badan pada babak pertama.

Ketika perlawanan, Kean di samping rakan sepasukannya dari Perancis, Blaise Matuidi dan pemain Brazil, Alex Sandro, dijadikan sasaran dengan bunyi bising seperti monyet, namun ia lebih teruk lagi selepas gol kedua.

BONUCCI (kanan) menanduk masuk gol pertama. — FOTO EPA

Kean meraikan jaringan itu dengan mendepangkan tangannya di depan penyokong Cagliari.

Namun Bonucci mendakwa Kean tidak patut membuat provokasi terhadap penyokong tuan rumah dan berkata, rakannya turut patut dipersalahkan kerana insiden tidak diingini itu.

“Kean tahu apabila dia menjaringkan gol, dia patut meraikannya bersama rakan sepasukan. Dia tahu dia mungkin melakukannya secara berbeza,” kata Bonucci kepada Sky Sport Italia.

“Ada ejekan perkauman selepas gol itu, Blaise mendengarnya dan marah. Saya fikir kesalahan 50-50, kerana Moise tidak patut melakukannya dan Curva (penyokong Cagliari) tidak patut bertindak sebegitu.

“Kami pemain profesional, kami patut menjadi contoh dan tidak membuat provokasi terhadap seseorang.”

Penyokong Cagliari dilihat melemparkan objek terhadap Kean dan perlawawaan dihentikan seketika dengan rayuan dibuat menerusi pembesar suara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:06 AM