MBAPPE (kanan) dan Pele bertemu pada satu majlis penaja di Paris, semalam.
MBAPPE (kanan) dan Pele bertemu pada satu majlis penaja di Paris, semalam.
AFP

LEGENDA bola sepak dunia Pele memberitahu Kylian Mbappe semalam beliau percaya pemenang Piala Dunia dari Perancis itu boleh menyamai pencapaiannya menjaringkan 1,000 gol sepanjang karier.

Bekas pemain Brazil berusia 78 tahun itu mendakwa menjaringkan lebih 1,000 gol dalam kariernya, manakala Mbappe setakat ini mengumpul 103 gol secara keseluruhan, 92 daripadanya di peringkat tertinggi.

“Ia munasabah, saya menjaringkan 1,025 gol, jadi 1,000 gol memang boleh buatnya,” kata Pele di Paris, yang mana beliau bertemu Mbappe pada satu acara penaja bagi jam Hublot.

Mbappe, tahun lalu muncul pemain remaja kedua menjaringkan gol pada final Piala Dunia selepas Pele ketika Perancis menang 4-2 ke atas Croatia, kurang bersetuju dengan komen Pele.

“Saya fikir jika kami mengira gol di padang permainan dan gol bermain PlayStation, saya tidak mungkin mencapai angka 1,000 gol,” kata penyerang Paris Saint-Germain berusia 20 tahun itu.

“Kami akan cuba untuk menghampirinya sedaya mungkin, tapi saya fikir ia mungkin pada hujung karier saya nanti.”

Mbappe menyumbat 32 gol dalam semua pertandingan buat PSG musim ini, termasuk 27 daripada 24 penampilan dalam Ligue 1.

Pele hanya berusia 21 tahun apabila dia menang Piala Dunia kali kedua pada 1962, menambah gelaran ketiga lapan tahun kemudian.

“Hanya ada seorang ‘Raja’ dan beliaulah orangnya,” kata Mbappe. “Saya hanya Kylian, saya cuba melakukan yang terbaik untuk membantu kelab dan pasukan kebangsaan.

“Perbandingan dengannya amat mengujakan tapi saya sedar saya tidak mampu melakukan apa yang beliau lakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 1:17 PM