Pemain Perak, Nazirul Naim Che Hashim (dua kiri) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukannya ketika menentang Negeri Sembilan. FOTO Abdullah Yusof.
Shamsul Kamal Amarudin


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Perak menewaskan Negeri Sembilan, 2-1 untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA, di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Perak memperoleh gol pada minit ke-40 menerusi Nazirul Naim yang mudah menumpaskan penjaga gawang pasukan pelawat selepas menerima hantaran Wander Luiz.

Shahrel Fikri menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang daripada J Partiban pada minit ke-78.

Gol Negeri Sembilan pula diperolehi melalui Jose Almir Barros yang menanduk masuk sepakan percuma diambil oleh Shunsuke Nakatake pada minit ke-67.

Pasukan tuan rumah terlebih dulu cuba menggegar jaring pada minit kedua tetapi rembatan Gilmar da Silva melepasi palang.

Pelawat pula berpeluang mengejutkan tuan rumah empat minit kemudian menerusi Muhammad Ferris Danial tetapi rembatannya dari luar kotak penalti tepat ke arah Muhammad Hafizul Hakim.

Permainan pada babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Walaupun kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk menjaringkan gol namun gagal menambah jaringan sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:15 PM