Penyerang pasukan Kelantan United FC, Elano Carlos Zozimar melakukan cubaan ke pintu gol Sabah dalam aksi Piala FA. FOTO Syamsi Suhaimi.
Attirmidzie Rahman


PASUKAN dari Liga M3, Kelantan United FC mencipta kejutan apabila menang tipis 1-0 ke atas Sabah dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Sebaik perlawanan bermula Kelantan United FC terlebih dahulu mengasak kubu pelawat dan mendapat jaringan pertama menerusi sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Zawawi pada minit keenam.

Selepas jaringan pertama itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan sepakan percuma pemain import Sabah, Taesu Park pada minit ke-35 hanya sedikit melepasi tiang gol tuan rumah.

Empat minit berselang Kelantan United FC mendapat peluang kedua menerusi penyerang import, Elano Zozimar melalui rembatan namun diselamatkan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Bersambung babak kedua pemain gantian tuan rumah, Fikram Mohamad mendapat peluang keemasan pada minit ke-60 walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Rozaimie Rohim namun gagal melakukan jaringan.

Pada minit ke-64, penyerang import Sabah, Luka Milunovic hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang terkena palang gol ketika penjaga gol sudah tertewas sekali gus terselamat kubu tuan rumah.

Kelantan United FC yang kerap diasak pelawat mampu bertahan dengan baik untuk kekal dengan jaringan 1-0 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:27 PM