Pemain Kedah, Renan Da Silva Alves (dua dari kanan) berebut bola dengan pemain Selangor United, Muhammad Nazrul Kamaruzaman (kanan) pada aksi Piala FA. FOTO Amran Hamid.
Izzali Ismail


KEDAH terpaksa diheret sehingga tambahan masa sebelum menewaskan Selangor United, 3-2 dalam aksi Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Skuad Kenari terlebih dahulu dikejutkan pelawat apabila pemain pertahanan Kedah, Syazwan Tajudin melakukan kesilapan yang membolehkan penyerang Selangor United, Norhafizzuan Jailani menjaringkan gol seawal minit ke- 9.

Tersentak dengan gol pendahuluan itu Kedah bangkit membalas serangan melalui percubaan Shakir Hamzah pada minit ke-15 namun percubaannya melepasi palang gol.

Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah hampir mendapatkan gol pertama melalui Shakir Hamzah yang membuat larian pantas ke pintu gol lawan yang kemudian berjaya dihalang oleh penjaga gol Nuraizat Abdul Aziz.

Kedah sekali lagi dihukum tiga minit selepas babak kedua bermula dengan gol hasil jaringan pemain import Sergio Fabio yang mengambil peluang hasil kesilapan pemain pertahanan Kesah dan seterusnya bertindak bijak memperdayakan penjaga gol dan pertahanan Kedah.

Gol yang dicari Kedah akhir tercipta pada minit ke-53 apabila pemain import Jonatan Bauman merembat kemas bola menewaskan penjaga gawang Selangor United.

Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 selepas Zaquan Adha bijak mengambil peluang dengan melakukan percubaan hasil bola yang muntah dari tangkapan penjaga gawang lawan.

Selangor United mendapat peluang keemasan melalui sepakan penalti pada minit ke-74 selepas penyerangnya Sergio Fabio dijatuhkan oleh penjaga gawang Kedah namun peluang untuk menambah gol itu disia-siakan oleh Thivagar Ragendran apabila bola sepakannya terkena tiang gol.

Kedudukan seri 2-2 itu kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dan memaksa permainan terpaksa diteruskan pada masa tambahan.

Kedah terus memburu gol dan akhirnya keceriaan terhasil pada minit ke-111 apabila pemain import Fernando Rodriguez berjaya membolosi gawang lawan dengan rembatan padu dalam kotak penalti.

Keputusan pusingan kedua Piala FA :

Perak 2 Negeri Sembilan 1

Pahang 4 PIB FC 0

PKNS FC 3 Melaka 2

Kelantan United FC 1 Sabah 0

Pulau Pinang 1 Penjara FC 0

Kuala Lumpur 3 Tun Razak FC 0

UiTM FC 0 PJ City FC 2

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 12:07 AM