Mat Zan (kanan) berpuashati biarpun NS tewas kepada Perak. FOTO NSTP/BERNAMA
Shamsul Kamal Amarudin


JURULATIH Negeri Sembilan, Mohd Zan Mat Aris berpuas hati dengan persembahan anak didiknya biarpun gagal meneruskan perjuangan dalam saingan Piala FA selepas tewas 2-1 kepada Perak.

Beliau mengakui pertembungan dengan juara Piala Malaysia itu sukar tetapi memuji kesungguhan pemain tidak mahu mengalah sepanjang 90 minit persembahan.

"Apa penting ialah persembahan kita. Perlawanan dengan UKM sebelum ini kita dapat kekalkan aksi sama ketika bertemu Perak.

“Kami dapat mencipta peluang menjaringkan gol, ada `movement' (pergerakan) ke arah gol, jadi saya berpuas hati dengan persembahan.

"Memang sudah jangka akan tewas kerana Perak beraksi dalam Liga Super. Apapun, tidak sangka beri tentangan yang menyukarkan pasukan tuan rumah di Stadium Ipoh," katanya.

Beliau berkata, pasukan itu kembali fokus terhadap perlawanan Liga Perdana bertemu pendahulu liga, JDT II pada 12 April ini.

Katanya, ia perlawanan sukar untuk pasukan Hoben Jang Hoben itu tetapi mereka mempunyai tempoh masa panjang untuk membuat persediaan.

"Ketika ini, kita hanya guna tiga import dan tiada import penyerang, Jose Almir Barros (penjaring gol Negeri Sembilan malam tadi) bukan penyerang, dia pemain sayap.

"Kita akui tujuh perlawanan sebelum iin memang bermasalah menjaringkan gol, justeru untuk jendela perpindahan kali kedua nanti, kami bercadang mencari seorang penyerang," katanya.

Mohd Zan berkata, pasukan itu terpaksa menamatkan khidmat seorang pemain import lebih awal kerana tidak boleh memberi sumbangan berguna kepada pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:49 PM