FAZLI (tengah) dakwa sudah belanja RM400,000 untuk urus pasukan.
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


SELEPAS dihimpit dengan pelbagai masalah membabitkan kewangan serta ketidakbersamaan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohammad melepaskan jawatannya serta merta, semalam.

Dalam kenyataan rasminya, Fazli turut menyenaraikan beberapa perkara yang menjadi permasalahan kerana tiada kesepakatan dalam pengurusan antara pihaknya dan KAFA.

Fazli berkata, selepas termeterai perjanjian pada 24 Januari 2019, sebuah syarikat diwujudkan dengan KRW menguasai majoriti 70 peratus manakala KAFA menguasai 30 peratus.

Katanya, dalam perjanjian itu, Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan wajib menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada KRW termasuk akaun bank, buku cek, dokumen berkaitan kontrak pemain, kontrak penajaan, hutang dan tunggakan gaji bekas pemain seperti mana tercatat dalam perjanjian.

“KRW sedar segala proses penyerahan pasti mengambil masa bergantung kepada selaju mana pihak Bibi Ramjani dan KAFA menguruskan segala dokumen untuk penyerahan kuasa.

“Saya juga pernah tegaskan dalam satu pertemuan bertarikh 6 Mac bersama Bibi Ramjani, Timbalan Presiden KAFA Datuk Affendi Hamzah, Naib Presiden KAFA, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir yang mana saya akan menarik diri dan membatalkan perjanjian ditandatangani kerana tidak boleh berkompromi dengan sikap acuh tak acuh dan sambil lewa serta tidak serius KAFA dalam penyerahan kuasa dan dokumen seperti diminta,” katanya.

Menurutnya, pada 2 Februari, KRW bersetuju untuk meminjamkan sejumlah wang untuk membantu membayar gaji pemain skuad Liga Perdana Kelantan menggunakan cek akaun syarikat itu sendiri.

“Selepas itu, KAFA mengatakan segala hutang lama dan gaji pemain yang sedia ada perlu dituntut dengan KRW sedangkan mereka belum menyerahkan segala dokumen dan akaun bank yang masih dikuasai Bibi Ramjani.

“Tanpa akaun bank dan buku cek, semestinya tiada kemasukan wang dan pembayaran dapat diselesaikan yang pasti ia (KRW) tetap dipersalahkan demi menutup kelemahan pihak lain,” katanya.

Terdahulu, KRW ditubuhkan dengan kerjasama syarikat MyInspiration Sdn Bhd dan KAFA bagi memantapkan lagi pengurusan bola sepak Kelantan ke arah yang lebih profesional.

Namun, angin perubahan berlaku selepas beberapa permasalahan muncul antara dua entiti ini seterusnya menyebabkan prestasi pasukan turut terjejas.

Dalam kenyataan sama, Fazli turut mendedahkan pihaknya sudah membelanjakan RM400,000 bagi menguruskan pasukan dalam tempoh dua bulan.

“Walaupun RM1 pihak saya tidak pernah mengambil ataupun menerima dari pihak KAFA, malah pihak saya dan rakan sudah meminjam dan mendahulukan beberapa bayaran bagi pihak KAFA berjumlah RM400,000 dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Sementara itu, KAFA bakal mengadakan sidang media untuk menjelaskan isu itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 10:57 AM