MENDY menerima rawatan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Burnley di Stadium Etihad pada 20 Oktober 2018. - FOTO Agensi
AFP

PEP Guardiola menjelaskan pertahanan Perancis, Benjamin Mendy tetap mempunyai masa depan cerah bersama Manchester City walapun menghadapi masalah disiplin di luar padang.

Pertahanan kiri yang hanya beraksi 27 minit sejak bergelut dengan kecederaan lutut pada November lalu mengunjungi kelab malam di Manchester pada jam 3.30 pagi Sabtu minggu lalu.

Guardiola sebelum ini kecewa dengan Mendy yang dibelenggu beberapa siri kecederaan sejak menyertai City dari Monaco pada 2017 dengan harga £52 juta (RM277 juta).

Pengurus itu memberi amaran kepada Mendy pada September lalu selepas hampir tiga jam lewat menghadiri sesi rawatan dan dia didapati menonton aksi tinju Anthony Joshua di London pada malam sebelumnya.

Pada Februari lalu, Mendy sekali lagi mencetuskan kemarahan pengurusnya menerusi catatan di Instagram yang mendakwa di berada di Hong Kong tanpa kebenaran tetapi akhirnya berkata dia hanya berjenaka.

Guardiola pula mempertimbangkan membeli seorang lagi pertahanan kiri sebelum liga bermula selepas Mendy mengalami kecederaan sekali gus kekurangan pilihan di bahagian itu.

Tetapi jika Mendy mampu kekal cergas dan beraksi dengan prestasi konsisten, Guardiola sedia memberinya peluang.

"Apa yang kami perlu buat sekarang ialah membantu melindungi lutut dan keadaannya kerana kami perlukan dia," Guardiola said.

"Kami beraksi dua musim tanpa pertahanan kiri. Ia realiti, jadi pada musim pertama Fabian Delph membantu kami dengan cemerlang. Begitu juga dengan Danilo dan musim ini Oleks (Zinchenko).

"Kami perlukan dia. Harapnya pada sebahagian musim ini dan masa depan. Musim depan sudah tentu dia kembali cergas.

Guardiola berkata, dia mahu membantu Mendy dengan mendapatkan yang terbaik daripada pemain itu.

"Dia pemain yang menarik dan berjiwa besar. Dia juga kelakar. Kadang kala saya perlu faham budayanya, daripada mana dia datang.”

Pengurus City itu juga tidak tahu mengenai Mendy yang didakwa menari di kelab malam pada awal pagi.

"Menari? Saya tak tahu jika dia menari,” kata Guardiola. "Benar, saya tak tahu kerana saya tiada di sana. Tetapi berdasarkan cara dia meraikan jaringan dalam Liga Perdana, dia bukanlah penari yang tidak bagus.”

Mendy bakal memperkasakan cabaran City yang memburu empat trofi - Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga.

Guardiola yang skuadnya akan menentang Brighton dalam aksi separuh akhir Piala FA di Wembley pada awal pagi esok berkata, kejayaan pasukannya bergantung kepada pemain dan dia menikmati saat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:19 AM