EMERY mahu Gunners benam Everton malam esok. - FOTO Agensi
AFP

AKSI konsisten di Stadium Emirates menjulang Arsenal ke kelompok empat teratas Liga Perdana tetapi berapa lama mereka mampu bertahan bergantung kepada prestasi di tempat lawan.

Gunners boleh memintas Tottenham di tempat ketiga jika mereka berjaya mengelak kekalahan di Everton malam esok.

Bagaimanapun, dengan lima daripada tujuh baki aksi liga di tempat lawan, kunjungan ke Goodison Park menjadi penentu sama ada Arsenal mampu meraih 16 daripada 18 mata dalam Liga Perdana.

Arsenal menang lapan aksi terakhir liga di Emirates dan mempunyai jumlah mata terbanyak di tempat sendiri sama seperti pemburu juara, Liverpool.

Tetapi mereka hanya berkedudukan ke-10 jika berdasarkan lima kemenangan daripada 14 perlawanan di tempat lawan.

Selepas Everton, skuad Unai Emery akan berkunjung Watford, Wolves, Leicester dan Burnley. Empat pasukan itu kecuali Burnley turut memburu slot kelayakan Liga Europa dan sudah pasti mereka perlukan mata untuk kekal bersaing.

"Kami memikirkan aksi demi aksi dan kami tahu ada lima perlawanan di tempat lawan dan ia cabaran besar,” kata Emery.

"Kami mahu mengekalkan prestasi sama seperti ketika beraksi di Stadium Emirates. Kami mempunyai keyakinan tetapi ia sukar. Kelab lain juga mahukan mata.”

Arsenal hanya menang dua kali di tempat lawan sejak November lalu, menewaskan Blackpool dalam saingan Piala FA dan Huddersfield yang baharu tersingkir daripada Liga Perdana.

Mereka tewas di Southampton, Liverpool, West Ham dan Manchester City dalam aksi liga dan diaibkan BATE Borisov dan Rennes dalam saingan Liga Europa.

Gunners sepatutnya menang di Tottenham bulan lalu jika Pierre-Emerick Aubameyang berjaya menyempurnakan penalti dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1.

"Prestasi kami meningkat ketika menentang Tottenham dan Huddersfield, keputusan yang bagus dan melonjakkan semangat pemain,” kata Emery.

"Kami semakin baik dan kompetitif di tempat sendiri dan mahu ia kekal konsisten. Everton menewaskan Chelsea dan seri menentang Liverpool dalam aksi terakhir mereka di tempat sendiri.”

Arsenal juga akan bertarung tanpa trio berpengalaman - Laurent Koscielny, Granit Xhaka dan Aaron Ramsey akibat kecederaan sementara Lucas Torreira digantung satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 9:42 AM