MADISON mara ke separuh akhir Terbuka Charleston, South Carolina. - FOTO Agensi
Reuters

MADISON Keys mara ke separuh akhir Terbuka Charleston selepas menewaskan rakan senegara, Sloane Stephens 7-6(6), 4-6, 6-2, awal pagi tadi.

Kedua-dua pemain bergelut dengan servis masing-masing tetapi Madison berjaya meningkatkan persembahan dan mengurangkan kesilapan pada set ketiga seterusnya menang perlawanan selepas hantaran jauh Sloane keluar garisan.

Aksi di atas gelanggang hijau itu menyaksikan permainan turun naik pada tie-break set pertama dengan Madison mendahului 4-0 sebelum Sloane kembali bangkit dengan enam mata berturut-turut.

Sloane gagal menyempurnakan dua mata akhir akhir ketika memegang servis dan Madison melakukan pukulan kilas kencang untuk menamatkan set pertama.

"Selalunya sukar menentang rakan senegara,” kata Madison merujuk aksi pada tie-break set pertama.

"Ada kalanya ia naik dan turun. Memang gila.”

Kemenangan itu yang pertama Madison ke atas Sloane yang mara ke separuh akhir Terbuka Perancis tahun lalu dan final Terbuka Amerika Syarikat pada 2017.

Menunggu Madison selepas ini ialah pemain Puerto Rico, Monica Puig yang melakukan 29 ‘winner’ ke atas seorang lagi pemain AS, Danielle Collins dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik dari San Juan itu meledak enam ace untuk mara ke separuh akhir pertamanya sejak Terbuka Connecticut pada Ogos tahun lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki tampak sudah pulih daripada penyakit yang mengakibatkan dia tersisih selama dua bulan pada awal tahun ini apabila mudah menewaskan Maria Sakkari 6-2, 6-2.

Caroline yang juga juara di Charleston pada 2011 mencipta 15 ‘winner’ dengan hanya lapan kesilapan untuk mara separuh akhir menentang Petra Martic yang mengejutkan Belinda Bencic 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:42 PM