PEMAIN JDT, Ignacio Insa (kiri) diasak Ikeda di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

“SAYA tak tahu nak cakap macam mana”, kata pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil selepas kegagalan pasukannya membawa pulang satu mata apabila tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan hilang tiga pemain akibat kad merah pada penghujung aksi saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Beliau berkata, sukar menentang JDT ketika beraksi dengan 11 pemain apatah lagi tiga pemainnya dilayangkan kad merah dalam perlawanan itu.

Katanya, mereka tiada pilihan kecuali bertahan namun gagal untuk mengelak gawang dibolosi selepas barisan pemain JDT begitu rakus mengasak ke kubu pertahanan.

"Walaupun tewas, saya tetap bangga dengan pemain sedia ada kerana pada hujung perlawanan hanya lapan pemain berjuang di padang dan mereka tetap bersungguh-sungguh untuk beri tentangan dan mengelak JDT menambah jaringan.

"Ada perkara perlu ditingkatkan tetapi saya enggan dedahkan kerana ia di luar kawalan kami namun tetap gembira dengan corak permainan pemain yang mengikut arahan dan berjaya membuat pemain JDT hilang punca.

"Saya akui kami bermain bertahan dalam perlawanan itu kerana jika kami beraksi secara terbuka mungkin memberi kelebihan buat JDT yang kita tahu gemar menggerakan bola secara pantas menerusi hantaran pendek dan bergerak dari posisi tengah," katanya.

Mohd Nidzam enggan mengulas lanjut berhubung keputusan pengadil, Fitri Maskon yang melayangkan kad merah kepada tiga pemainnya bermula Zahril Azri Zabri, Thiago Junior dan kapten Hadin Azman sebaliknya mahu melihat rakaman video sama ada tindakan pengadil perlawanan itu tepat atau sebaliknya.

Ditanya mengenai kelibat pemain import, Kei Ikeda dan Jocinei Schad, jurulatih kelahiran Kajang, Selangor itu berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan kedua-dua pemain berkenaan.

"Kita turun tanpa dua pemain import dan Ikeda terpaksa bermain sebagai penyerang tiga jam sebelum perlawanan namun menggalas tugas dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 1:19 PM