CAROLINE pilihan kelima Terbuka Charleston.
Reuters

BEKAS pemain nombor satu dunia Caroline Wozniacki mengekalkan rekod kemenangan ke atas pemain Croatia, Petra Martic dan bakal menentang Madison Keys pada aksi final Terbuka Charleston.

Pemain Denmark, Caroline mempamerkan tahap keyakinan tinggi selepas pulih daripada kecederaan dengan menewaskan Petra 6-3, 6-4 awal pagi tadi sebelum pemain Amerika Syarikat, Madison menewaskan Monica Puig 6-4, 6-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang tertangguh satu jam akibat hujan.

"Kembali sihat sangat mengujakan, ia paling utama,” kata Caroline yang juga pilihan kelima kejohanan selepas dia mara ke final pertamanya tahun ini.

"Sudah lama saya tidak mengecapi kejayaan di sini,” katanya yang menjuarai kejohanan South Carolina pada 2011.

Pilihan kelima itu mematahkan servis Petra dua kali pada set kedua sebelum mengesahkan kemenangan dan mengekalkan rekod tidak kehilangan walau satu set kepada Petra dalam enam perlawanan.

"Servis dan hantaran saya bagus sepanjang perlawanan dan saya berusaha kekal agresif dengan menggerakkan dia ke seluruh gelanggang,” kata Caroline.

Caroline yang juga pemain nombor 13 dunia mendahului 4-2 pada set kedua tetapi Petra kembali bangkit menyamakan kedudukan 4-4 sebelum kemenangan berpihak kepada pemain Denmark, Caroline.

Madison yang tewas dua kali kepada Caroline berkata pertembungan dengan Caroline di atas tanah liat bakal memberi kelebihan kepadanya.

"Gelanggang itu agak perlahan,” kata Madison. "Pukulan saya akan menjadi lebih baik dan saya yakin mencapai keputusan diinginkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 11:33 AM