CULEY galas harapan TSC.
Azlan Muhammad Zain

PENYARUNG jersi kuning dari Team Sapura Cycling (TSC), Marcus Culey mengetuai cabaran peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bermula sebentar tadi.

Seramai 124 pelumba dari 22 pasukan akan mengharungi perlumbaan terpanjang pada edisi ke-24 sejauh 200.6km bermula dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Melaka.

Pelumba memulakan kayuhan dengan zon pendakian kategori tiga di Bukit Putus setinggi 253 meter disusuli dua zon pecut di Kuala Pilah dan Bahau.

Mereka dijangka mengharungi dua zon pendakian kategori tiga di Sungai Rokan (141m) dan Bukit Miku (236m) diikuti zon pecutan ketiga di Kota ketika saingan berbaki kira-kira 50 kilometer.

Pasukan benua tempatan, TSC pastinya bekerja keras dalam memastikan Culey mengekalkan jersi kuning.

Selepas kejayaan secara solo melintasi garisan penamat pada peringkat pertama semalam, pelumba dari Australia turut berjaya menyarung jersi hijau selaku Raja Pecut.

Jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia disarung pelumba Vino Astana Motors, Grigoriy Shtein. Jersi Raja Pecut (merah) disarung Angus Lyons dari Oliver's Real Food.

Perlumbaan peringkat kedua dijadual berakhir kira-kira 5 petang di Dataran Pahlawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 12:51 PM