Syed Abdullah enggan mengulas lanjut. FOTO NSTP
Attirmidzie Rahman


KELAB Penyokong Persatuan Bolasepak Kelantan membayangkan individu dalam kalangan peminat akan menerajui Kelantan Red Warriors (KRW) selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fazli Mohammad meletak jawatan baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan oleh ketuanya, Syed Abdullah Syed Mahmood yang memuat naik status itu laman sosial Facebooknya, hari ini.

"Player ke-12 akan ambil alih KRW... doakan kejayaan kita rakyat Kelantan... amin," katanya.

Syed Abdullah ketika dihubungi berkata, kelab peminat juga berkemampuan untuk menggalas tanggungjawab menerajui KRW jika diberi peluang.

"Pemain ke-12 memang arif dengan perkembangan bola sepak negeri ini.

"Malah kepakaran beberapa tokoh korporat dan usahawan dari negeri ini turut ditagih untuk membantu memulihkan kembali reputasi The Red Warriors (TRW) musim ini," katanya.

Ditanya siapakah individu yang berhasrat menerajui KRW, Syed Abdullah enggan mengulas lanjut namun individu terbabit bakal diumumkan dalam masa terdekat.

"Skuad TRW perlu segera dipulihkan demi mengembalikan keyakinan peminat selepas mengalami kesuraman prestasi akibat kemelut dalaman KAFA dengan KRW," katanya.

Akhbar sebelum ini, selepas dihimpit dengan pelbagai masalah membabitkan kewangan serta ketidakbersamaan dengan KAFA, Fazli melepaskan jawatannya serta merta.

Bagaimanapun, Kelab Penyokong Persatuan Bolasepak Kelantan menyifatkan keputusan Fazli melepaskan jawatannya adalah wajar selepas gagal menunaikan janji apabila tiga pasukan Kelantan masih terhimpit dengan pembayaran gaji sejak Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 5:25 PM