PEMAIN Watford meraikan kejayaan mara ke final Piala FA di Wembley. - FOTO Reuters
Reuters

WATFORD meraih kemenangan sukar ke atas Wolves dalam aksi separuh akhir Piala FA awal pagi tadi tetapi mereka tampak berdepan misi mustahil apabila menentang Manchester City di final.

Bagaimanapun, Watford yang mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang 3-2 di Wembley menyampaikan mesej amaran kepada juara Inggeris yang memburu empat kejuaraan itu.

Penyerang berusia 30 tahun, Troy Deeney yang juga kapten pasukan menegaskan: “Kami akan menunjukkan bahawa kami mampu menewaskan mereka.”

Selepas memainkan peranan utama dalam kebangkitan Watford yang ketinggalan 2-0 ketika baki 11 minit perlawanan, Deeney memberi amaran bahawa semuanya boleh berlaku ketika menentang pasukan hebat itu.

"Kami tahu City mempunyai kekuatan di semua bahagian, salah satu pasukan terbaik Eropah,” katanya.

"Kami akan beraksi dengan keyakinan tinggi tetapi ia tidak semudah itu. Hanya dengan kerja keras akan membawa kami lebih jauh.

"Pasukan ini memiliki sesuatu yang istimewa. Kami bukanlah yang terbaik tetapi anda boleh lihat semangat dan kesungguhan dalam kalangan mereka.

"Ketika ketinggalan dua gol, banyak pasukan mungkin sudah berputus asa tapi kami terus berusaha. Membawa masuk pemain licik (dua jaringan Gerard Deulofeu) yang mempamerkan magis dan selebihnya kerja keras kami.”

Watford tewas dua kali kepada City dalam aksi Liga Perdana musim ini dan menduduki tangga ke-10 dengan ketinggalan 34 mata di belakang lawannya yang muncul juara Piala Liga dan beraksi di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Deeney menjadi tumpuan pada minit ke-94 ketika Watford ketinggalan 2-1 apabila dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Leander Dendoncker. Reviu VAR mengesahkan kekasaran itu dan Deeny tenang menyempurnakan penalti

"Saya berkata kepada diri sendiri supaya tenang...kamu berlatih sepakan ini bertahun lamanya dan selepas itu saya fokus dan terus merembat sekencang boleh.”

Deulofeu menjaringkan salah satu gol hebat Wembley apabila melambungkan bola ke penjuru kiri Wolves dan mempamerkan larian kencang pada masa tambahan untuk membawa pasukannya ke final Piala FA sejak 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:55 AM