PENJAGA gol PJ City FC, Mohd Muhaimin Mohamad bertungkus lumus mengawal gawang daripada dibocori penyerang Pahang di Stadium Darul Makmur. - FOTO Muhd Asyraf Sawal

WAJAH kecewa tidak dapat disembunyikan pengendali Pahang, Dollah Salleh apabila skuadnya gagal mencipta kemenangan ke atas PJ City FC, malam tadi. 

Keputusan seri 1-1 itu menyebabkan skuad Tok Gajah terlepas peluang untuk kembali memintas kedudukan teratas Liga Super selepas lapan perlawanan . 

"Perasaan hampa itu sememangnya ada kerana kita perlu menang untuk kembali berada di takhta liga tetapi pemain gagal mencapai misi itu.  Sebenarnya, kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol tetapi faktor ketumpulan di bahagian serangan menyebabkan tiga mata terlepas. 

"Corak bertahan dipersembahkan lawan juga menafikan Pahang untuk menambah jaringan terutama pada babak kedua," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.   

Mengulas persembahan skuad itu, Dollah berkata, anak buahnya sudah melakukan segalanya termasuk menyenaraikan Dickson Nwakaeme pada babak kedua perlawanan. 

Katanya, jaringan penyerang Brazil, Jose Eduardo atau Ze Love sebaik bersambung babak kedua membantu pasukan untuk mengelak daripada terlepas mata. 

"Jaringan pendahuluan lawan oleh Safie Sali adalah satu-satunya peluang yang berjaya mereka sempurnakan.  Dalam permainan bola sepak jika bermain bagus sekali pun tetapi gagal menjaringkan gol, ia tidak bermakna," katanya. 

Pada perlawanan itu, gol pendahuluan PJ City dijaringkan bekas pemain kebangsaan, Mohd Safee minit ke-32 sebelum Eduardo menyamakan kedudukan pada minit ke-49.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 12:55 PM